Ibu bapa Nora Anne saman resort

Fareez Azman
Januari 5, 2020 10:53 MYT
Sebastian Marie Philipe (tengah) dan isteri kemuka saman sivil terhadap pengusaha The Dusun Resort. -Gambar fail
LIMA bulan selepas mayat remaja Ireland Nora Anne Quorin ditemukan, ibu bapanya Sebastian Marie Phillipe dan Meabh Quoirin dilapor mengemukakan saman ke atas resort inapan keluarga itu kerana cuai.
Dalam tuntutan sivil itu, mereka mendakwa pengusaha The Dusun Resort, Helen Marion Todd gagal memastikan keselamatan premis tersebut, lapor The Star.
Pasangan itu juga mendakwa pengusaha resort berkenaan gagal memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik inapan mereka.
Mereka yang diwakili peguam Sankara Nair memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan.
Pengurusan pertama kes dijangka pada 21 Januari ini.
Kes kehilangan Nora Anne pada 4 Ogos tahun lalu mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa.
Misi mencari dan menyelamat mangsa menemui jalan buntu apabila pencarian di beberapa kawasan gagal mengesan mangsa.
Bagaimanapun selepas 10 hari pencarian, mayat remaja itu berjaya ditemui di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kehilangannya.
#Ireland #keselamatan #Mahkamah Sesyen #mayat #Media #Negeri Sembilan #nora anne #remaja #saman #sivil #tuntutan
;