Ibu bapa miliki anak autistik disaran daftar dengan JKM
Bernama
April 30, 2016 20:05 MYT
April 30, 2016 20:05 MYT
Ibu bapa yang mempunyai anak penghidap autisme dan belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat digesa berbuat demikian secepat mungkin bagi membolehkan mereka mendapat rawatan awal.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata rawatan intensif awal meliputi bantuan memperbaiki kemahiran sosial dan pertuturan penting bagi membantu kanak-kanak terlibat berkomunikasi.
"Umumnya, kanak-kanak penghidap autisme berdepan lebih banyak cabaran dalam berkomunikasi dengan orang di persekitaran mereka.
Oleh itu, dengan pendaftaran ini mudah untuk mereka mendapat bantuan serta sokongan daripada kerajaan dalam sebagai langkah awal membantu perkembangan kehidupan anak autisme ini," katanya pada perasmian program 'The Beauty of Autism' sempena bulan kesedaran autisme 2016 di KL Sentral, di sini hari ini.
Program anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bersama Persatuan Masyarakat Sejagat (MYHELP) serta badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Akademi Remaja Islam Autisme dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) itu berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti dengan kehadiran 300 penghidap autisme.
Mas Ermieyati berkata selain JKM, ibu bapa boleh mendapat bantuan dan sokongan daripada agensi lain seperti Nasom.
"Setakat Mac tahun ini, hanya 12,785 kanak-kanak dan orang dewasa autistik telah didaftarkan dan daripada jumlah itu 9,208 penghidap autisme adalah berusia 18 tahun ke bawah," katanya lagi.
Sementara itu, pelakon Zarina Zainudin turut berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapinya dalam membesarkan anak kembarnya, penghidap autisme.
"Abang sulung, tidak pandai bercakap dan sangat agresif sehinggakan saya perlu memberi ubat bagi menenangkannya tetapi saya percaya apabila mereka begitu, sebenarnya mereka perlukan perhatian dari saya.
"Membesarkan anak kembar autistik sangat mencabar tetapi reda kerana mereka adalah syurga untuk saya kelak," katanya lagi yang menyedari bahawa anak-anaknya itu menghidap autisme ketika berusia lapan tahun.
Beliau berkata anak kembarnya yang kini berusia 20 tahun, disahkan menghidap autisme dengan menunjukkan ciri-ciri seperti kurang berkomunikasi, kurang kemahiran sosial serta kurang interaksi mata.