Ibu bapa mengeluh barangan keperluan sekolah naik

Mariah Ahmad
Disember 25, 2015 16:52 MYT
Ramai ibu bapa sudah membuat persiapan lebih awal menyediakan pakaian persekolahan anak-anak meskipun penggal persekolahan 2016 hanya akan bermula dua minggu lagi. - Gambar Bernama
Sesi persekolahan baru akan bermula tidak lama lagi dan pastinya ibu bapa adalah golongan yang paling sibuk melakukan persiapan untuk anak-anak mereka.
Dalam tinjauan yang dilakukan sekitar ibu kota, Astro AWANI cuba mendekati dan memahami pengurusan perbelanjaan di kalangan ibu bapa dalam situasi kos sara hidup yang tinggi dewasa ini.
Ada di antara yang mengeluh barangan keperluan sekolah semakin mahal berbanding tahun lepas dan terpaksa mengurangkan kos perbelanjaan lain.
Bagi pesara, Hamidah Mohd, dia menyedari barangan seperti baju sekolah semakin mahal di pusat membeli belah.
Lantaran itu Hamidah mencari alternatif lain bagi mengurus perbelanjaan keluarganya dengan lebih jimat.
"Saya membuat tempahan baju sendiri bagi anak saya. Adik ipar saya merupakan tukang jahit dan kami boleh membeli jenis kain kami sendiri.
Saya rasa ia lebih murah sedikit berbanding membeli yang sedia ada," tambahnya.
Sementara itu juruteknik, Zulkipli Mohd Samad berkata dia akur dengan keadaan ekonomi sekarang dan berbelanja hanya mengikut kemampuan.
"Harga barangan persekelohan agak berpatutan jugalah kalau diikutkan dengan perbelanjaan saya. Kalau mampu membeli sepasang baju, hanya sepasang baju. Kalau macam saya mampu untuk dua pasang, maka dua pasang sahajalah.
"Harga memang lagi mahal berbanding tahun lepas dan itu saya terpaksa akur dengan keadaan ekonomi sekarang ini," tambah Zulkipli.
Bagi Zainal Amat yang bekerja sendiri turut senada dengan Zulkipli dan dia terpaksa akur dengan peningkatan harga barangan keperluan sekolah anak-anak.
Jelasnya kos sara hidup ketika ini sangat tinggi namun bersyukur dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan, yang mengurangkan serba sedikit beban keluarga miskin di negara ini.
"Kata orang beli sebelum harinya iaitu beli sebelum perayaan tiba. Namun walau bagaimanapun, kos sara hidup memang tinggi. Memang terlampau tinggi.
"Kita bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak cuma kita kena akur dengan kehidupan sekarang, dengan kemajuan yang ada. Dalam erti kata lain, pandai-pandailah kita mahu menyesuaikan hidup sekarang," kata Zainal.
#BR1M #hamidah mohd #ibu bapa #kos sara hidup #persiapan sekolah #zainal amat #zulkipli mohd samad
;