Ibu bapa jangan ambil mudah perkembangan sahsiah anak - Mukhriz

Bernama
Julai 21, 2019 05:00 MYT
MUKHRIZ: Generasi yang baik adalah yang dilahirkan dari persekitaran yang harmoni dan mempunyai didikan yang baik bermula dari rumah mahupun institusi pembelajaran. - Gambar fail/BERNAMA
Ibu bapa diminta tidak mengambil mudah perkembangan anak-anak sama ada daripada aspek sahsiah mahupun akademik mereka, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata ini kerana ibu bapa dan keluarga adalah pengasuh paling penting dan mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan sahsiah kanak-kanak.
"Apa yang ingin ditekankan di sini, ibu bapa jangan mengambil mudah tentang perkembangan anak-anak sama ada dari segi perkembangan sahsiah mahu pun akademik kerana pada usia begini mereka perlukan bimbingan yang baik dari ibu bapa iaitu 'role model' pertama anak-anak.
"Generasi yang baik adalah yang dilahirkan dari persekitaran yang harmoni dan mempunyai didikan yang baik bermula dari rumah mahupun institusi pembelajaran," katanya ketika berucap menutup Hari Potensi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dekat sini pada Ahad.
Sehubungan itu, Mukhriz berkata tanggungjawab mendidik anak-anak bukan hanya bergantung kepada guru semata-mata sebaliknya turut melibatkan peranan ibu bapa itu sendiri bagi memastikan pembelajaran anak-anak tersebut berterusan.
-- BERNAMA
#Hari Potensi Taman Bimbingan Kanak-Kanak #Jabatan Kemajuan Masyarakat #Menteri Besar Kedah #Mukhriz Mahathir #perkembangan anak-anak #sahsiah anak #TABIKA
;