Ibu bapa disaran beri anak-anak nutrisi mencukupi untuk lawan COVID-19 - Pakar

Fareez Azman
November 16, 2020 05:43 MYT
Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzil berkata, pengambilan nutrisi mencukupi dalam kalangan kanak-kanak dapat membantu sistem imunisasi badan melawan virus COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat nutrisi pemakanan yang sempurna bagi melawan virus COVID-19 jika dijangkiti.
Demikian jelas pakar pediatrik dan ahli panel DoktorBudak.com, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzil berhubung situasi terkini penularan COVID-19 di negara ini termasuk melibatkan kanak-kanak.
Ujarnya, pemakanan yang seimbang dengan zat galian serta nutrisi mencukupi dapat membantu sistem imunisasi kanak-kanak melawan virus berkenaan.
Malah kematian terbaharu membabitkan kanak-kanak berusia lapan tahun pada Ahad disebabkan mangsa mengalami demam denggi sebelum dijangkiti COVID-19.
"Kita lihat kanak-kanak dan orang dewasa, sekiranya mereka mempunyai masalah (kesihatan) kalau kita sebut kes semalam, sebenarnya anak ini mengalami demam denggi agak teruk, kemudian tidak dapat recover (pulih sepenuhnya) akibat jangkitan COVID-19.
"Dalam proses pemulihan itu dia terdedah kepada COVID-19, mengakibatkan (imunisasi badan) tidak dapat pulih. Dalam jangkitan COVID-19, ia melumpuhkan sistem yang sedang bermasalah.
"Kalau kita kata warga emas ada kencing manis, darah tinggi semua, akan akibatkan kemudaratan yang lebih teruk. Sama juga kes kanak-kanak yang melibatkan kematian di Malaysia," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambah beliau, populasi kanak-kanak di Sabah juga boleh diambil kira termasuk dalam kumpulan masalah kekurangan zat, vitamin dan galian yang boleh menyebabkan sistem imunisasi tubuh tidak dapat melawan jangkitan.
"Jangkitan berganda pada satu masa boleh menyebabkan walaupun anak nampak sihat, tetapi mungkin mengalami masalah lain dalam badan itu sendiri. Untuk itu, kita kena pastikan anak kita dapat melawan jangkitan dengan pastikan mereka mendapati zat yang secukupnya," katanya lagi.
Pada Ahad (15 November), Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun (kes ke-45,459) menjadi mangsa terbaharu meninggal dunia di Hospital Tawau.
Sehingga kini, sebanyak 307 kematian direkodkan di negara ini.
#COVID-19 #meninggal dunia #Kanak-kanak #Dr Noor Hisham Abdullah #pakar pediatrik #Doktorbudak com #denggi #Tawau #nutrisi #Zat galian #vitamin #warga emas #pesakit COVID-19