Ibu bapa dinasihat hantar anak ke pusat tahfiz berdaftar - Mujahid
Hasimi Muhamad
November 8, 2019 22:18 MYT
November 8, 2019 22:18 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihati ibu bapa dan penjaga agar menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.
Ia susulan kejadian terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilaporkan meninggal dunia pada Khamis dengan kesan lebam pada badan mangsa.
“Ini kerana, ia bagi memudahkan kerajaan serta Jabatan Agama Islam Negeri memantau segala kegiatan kokurikulum serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan di pusat berkenaan agar mengikut piawaian demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin,” demikian menurutnya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mujahid menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain melahirkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa penuntut pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh itu.
“Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun, baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa.
“Saya percaya pada kecekapan pihak polis dan berharap agar hasil siasatan yang dijalankan dapat mengetahui punca kematian anak berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang menuntut di sebuah tahfiz tidak berdaftar ditemukan dalam keadaan lemah dengan kesan lebam di asramanya, dipercayai dipukul.
Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di klinik tersebut.
Susulan itu, polis menahan tiga remaja berusia 13 tahun yang juga pelajar di pusat tahfiz itu bagi membantu siasatan.
#Jabatan Perdana Menteri
#meninggal dunia
#Mujahid Yusof Rawa
#pelajar tahfiz maut
#Perdana Menteri
#pusat tahfiz