Ibu bapa budak 10 tahun pandu kereta akan didakwa cuai

Sinar Harian
September 5, 2024 12:00 MYT
Dalam kejadian itu, kanak-kanak itu yang memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama jirannya tidak mengalami kecederaan. - Gambar fail
SEREMBAN: Ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta milik keluarganya sehingga mengakibatkan kemalangan akan didakwa atas kesalahan kecuaian menjaga anak.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua mereka berusia 40-an yang merupakan warga tempatan akan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku ketika ibu bapa kanak-kanak terbabit tiada di rumah.
"Bapa kanak-kanak itu yang merupakan peniaga tidak sihat dan ketika kejadian ibunya yang bekerja bahagian pembersihan sedang membawa suaminya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Polis telah pun memanggil ibunya untuk memberi keterangan manakala bapanya akan dipanggil selepas ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Mohamad Hatta, kanak-kanak itu pula akan disiasat atas kesalahan trafik di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 111 akta sama Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959.
Media pada Rabu melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu kereta Toyota Corolla milik keluarganya sehingga terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian dekat sini.
Kenderaan dipandunya telah terbabas semasa melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.
Kejadian itu menyebabkan van terbabit telah menggelongsor ke hadapan dan terlanggar Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu dan penumpangnya iaitu kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga jirannya tidak mengalami kecederaan. - Sinar Harian
#kanak-kanak pandu kereta #taman arowana impian #Tular #kemalangan kereta
;