Ibu bapa boleh didakwa jika anak-anak tidak diberi vaksin

Khairunnisa Kasnoon
Februari 26, 2019 18:57 MYT
IBU bapa harus memberi perhatian yang serius berhubung pengambilan vaksin pada anak-anak mereka, kata Hanna Yeoh.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu kanak-kanak yang tidak berikan vaksin hingga boleh mendatangkan kemudaratan.
Timbalan menterinya, Hannah Yeoh berkata sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian terhadap kanak-kanak itu hingga menyebabkan kematian, ibu bapa boleh boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak.
"Akta Kanak-kanak punyai fasal kecuaian, vaksinasi sangat penting untuk kesihatan kanak-kanak.
"Kami merancang untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang mengabaikan kesihatan kanak-kanak dengan tidak memberikan vaksin. Ia bukan sahaja memberi impak kepada anak, tetapi kanak-kanak yang lain juga," katanya kepada wartawan pada Selasa.
Beliau berkata demikiam sebagai mengulas mengenai keenganan segelintir ibu bapa untuk memberi vaksin kepada anak-anak hingga boleh memudaratkan kesihatan mereka.
Ia merujuk kepada kes kematian seorang kanak-kanak lelaki baru-baru ini di Johor Bahru yang disyaki akibat jangkitan difteria pada 21 Februari lalu.
Kanak-kanak berusia dua tahun satu bulan itu dilaporkan tidak pernah memerika suntikan imunisasi.
#Akta Kanak-Kanak #Kanak-kanak #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #vaksin
;