Ibu bapa benar anak tunggang motosikal tanpa lesen bakal dikenakan tindakan

Bernama
Julai 10, 2015 18:38 MYT
Polis tidak akan berkrompromi terhadap ibu bapa yang cuai dan membiarkan anak mereka berdepan risiko menggunakan motosikal tanpa mematuhi peraturan ditetapkan. - Gambar fail
Polis Terengganu akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ibu bapa dan penjaga yang membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata mereka juga bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika melibatkan kemalangan maut.
Katanya pihaknya tidak akan berkrompromi terhadap ibu bapa yang cuai dan membiarkan anak mereka berdepan risiko menggunakan motosikal tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
"Kita dapati ramai remaja yang terdiri daripada pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti merempit dan golongan ini juga dikesan tidak memiliki lesen serta perlindungan insurans.
"Dari mana pelajar sekolah ini dapat duit untuk membeli motosikal jika bukan ibu bapa mereka kerana jika di usia begitu mereka tidak mampu untuk membeli motosikal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya ibu bapa perlu tahu anak-anak mereka ada ataupun tidak lesen memandu serta perlindungan insurans sebelum membenarkan mereka menunggang motosikal.
"Jika berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kematian kita tidak akan teragak-agak menuduh mereka di bawah kecuaian jenayah kerana membiarkan anak mereka berbuat demikian," katanya.
Jelasnya langkah yang dilaksanakan ini bagi menyedarkan ibu bapa agar menitik berat soal keselamatan bukan sahaja melibatkan nyawa anak mereka tetapi pengguna jalan raya yang lain.
Rosli berkata pihak polis akan meningkatkan operasi dan telah mengenal pasti lokasi panas dan tempat kumpulan rempit ini berkumpul untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.
"Kita harap para ibu bapa dapat mengawasi anak-anak mereka agar tidak terus terjebak dengan aktiviti merempit," katanya.
#motosikal #penunggang #Rosli Ab Rahman #saman #terengganu
;