Ibu bapa anak OKU perlu lebih terbuka, pastikan golongan itu berdikari

Bernama
Julai 14, 2024 05:30 MYT
Isaiah (duduk, tengah) bergambar bersama pengurusan dan anak-anak istimewa ketika melakukan lawatan kerja ke Pertubuhan Guru Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan di Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang, 14 Julai 2024. --fotoBERNAMA
SEREMBAN: Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) perlu bersikap lebih terbuka bagi memastikan golongan itu mampu berdikari tanpa mengharapkan orang lain.
Ahli Dewan Negara Isaiah Jacob berkata ini bagi memastikan mereka dapat menyesuai serta menguruskan diri sendiri pada masa hadapan terutama selepas ketiadaan ibu bapa dan keluarga untuk membantu.
"Saya setuju ada ibu bapa tidak berani membenarkan anak-anak OKU hidup berdikari... tidak seperti di luar negara, mereka akan memastikan anak OKU diberikan latihan. Di Malaysia, ramai ibu bapa terlampau sayang, takut akan keselamatan dan kesihatan anak jika keluar. Saya setuju tentang sayang tapi perlu ada had.
"Apabila anak-anak ini ke Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), mereka boleh buat pelbagai perkara seperti mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan diri namun apabila pulang ke rumah, tidak dibenarkan buat itu semua, ini akan merosakkan anak-anak... jadi ibu bapa perlu ada kesedaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang (RAPKS) yang diuruskan oleh Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan di sini semalam.
Isaiah berkata bagi memperkasakan golongan OKU, peranan PDK perlu dipertingkat termasuk mewujudkan modul berlainan untuk tempoh enam bulan mengikut minat dan bakat mereka.
Beliau juga memaklumkan akan membawa cadangan ke Dewan Negara supaya pendidikan mengenai OKU diterap di peringkat sekolah menengah sekali gus memastikan masyarakat didedahkan dengan perkara itu termasuk penggunaan bahasa isyarat.
"Kita perlu bermula dengan generasi baharu, di tingkatan satu, bagaimana kalau ada keluarga OKU, bagaimana mahu jaga dan uruskan.
"Adakan bahasa isyarat, semua pelajar belajar bahasa isyarat justeru boleh berkomunikasi dengan cepat jika berdepan OKU pendengaran dan percakapan," katanya.
Selain itu, Isaiah mencadangkan supaya kerajaan negeri membantu menyediakan tapak tanah bagi pembinaan pusat autisme dan sindrom down yang dilengkapi teknologi baharu sekali gus membantu ibu bapa kurang berkemampuan selain menggalakkan penglibatan pihak swasta.
-- BERNAMA
#anak OKU #pendidikan khas #berdikari #Isaiah Jacob