Ibu, anak maut dalam nahas kemalangan babitkan 16 kenderaan

Astro Awani
Jun 23, 2016 16:15 MYT
Ibu dan anak yang maut dalam kemalangan tragik di Lebuh Raya PLUS pagi tadi. - Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Ibu dan anak berusia 17 bulan maut dalam kemalangan melibatkan 16 kenderaan di Kilometer 405.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Kuala Kubu Baru sekaligus menyebabkan kesesakan lalulintas lebih 10 kilometer pagi tadi.
Mangsa yang maut Nurul Syazeila Iryani Suhaimi, 28 tahun dan Hanna Umaira Mohd Hasnun, berusia 17 bulan.
Kedua-dua mangsa berasal dari Permatang Tok Jaya, Sungai Dua, Butterworth.
Sementara suami mangsa, Mohd Hasnun Ramli juga 28 tahun dilaporkan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Kubu Baru, Selangor.
BACA: Dua maut dalam kemalangan 16 kenderaan di PLUS Tanjung Malim
Siasatan awal polis mendapati kemalangan yang berlaku pada 9.15 pagi itu, bermula apabila sebuah treler terbabas dari lorong kanan ke lorong tengah.
Treler berkenaan merempuh lima buah kenderaan termasuk kenderaan yang dinaiki dua mangsa.
Akibat insiden, kenderaan dinaiki mangsa tersepit antara dua buah treler sementara kenderaan lain tidak sempat mengelak dan menyebabkan berlaku rempuhan.
#Hanna Umaira Mohd Hasnun #Kemalangan Lebuh Raya PLUS #Nurul Syazeila Iryani Suhaimi #Tanjung Malim
;