Ibu abaikan tiga anak serah diri kepada polis

Bernama
Julai 9, 2019 21:35 MYT
Setelah mengetahui dirinya diburu pihak berkuasa sejak 3 Julai lalu, wanita itu bertindak menyerah diri dan mengaku terlibat dalam kes pengabaian kanak-kanak. - Gambar hiasan
Wanita yang dipercayai meninggalkan tiga anak kandungnya bersendirian di sebuah rumah di sini sejak awal bulan, tampil menyerah diri kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata suspek berumur 32 tahun itu, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu pada Ahad lepas, selepas menyedari dirinya menjadi buruan polis.
"Setelah mengetahui dirinya diburu pihak berkuasa sejak laporan polis dibuat 3 Julai lalu, wanita itu bertindak menyerah diri dan mengaku terlibat dalam kes pengabaian kanak-kanak. Dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kini direman tiga hari hingga esok," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Adli berkata, anak wanita terbabit yang berusia enam, lapan dan 12 tahun kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di Taman Sinar Harapan di Kuala Terengganu.
Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar ketika dihubungi berkata pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu dan sedang melihat kesesuaian sama ada kanak-kanak itu terus berada di bawah jagaan ibu mereka atau sebaliknya.
"Namun sekiranya tidak sesuai kita akan serahkan mereka kepada jagaan ahli keluarga terdekat...tetapi jika tidak ada yang sanggup (menjaga), pihak JKM akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan JKM berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki bersama dua adik perempuannya yang ditinggalkan ibu mereka di sebuah rumah perumahan awam kos rendah di daerah ini tanpa sebarang pengawasan dan makanan.
-- BERNAMA
#anak kandung #ditinggal tanpa makanan #ditinggal tanpa pengawasan #jkm #Kanak-kanak #Kuala Terengganu #pengabaian #polis #reman #serah diri #siasatan #suspek #Taman Sinar Harapan #wanita #Zuhami Omar
;