Ibrahim Sani dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju
Nabilah Khaleeda
November 30, 2023 13:11 MYT
November 30, 2023 13:11 MYT
KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) mengumumkan pelantikan Ibrahim Sani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 1 November 2023.
Ibrahim dilantik menggantikan Mohd Muzzammil Ismail yang tamat perkhidmatan sekitar Mei 2023.
Yayasan Peneraju dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pelantikan Ibrahim dilihat bakal meningkatkan kepimpinan dalam pasukan pengurusan.
Ibrahim dalam pada itu berkata pelantikan beliau merupakan satu tanggungjawab besar namun yakin dapat menjayakannya.
"Ini adalah satu tanggungjawab berat untuk dipikul, banyak yang perlu diselesaikan.
"Namun, kerjasama pasukan yang hebat di Yayasan Peneraju akan membantu menjayakannya," kata Ibrahim.
Ibrahim memiliki pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang kewangan, perbankan, strategi, perisikan perniagaan, pasaran modal, dan juga media.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Pascasiswazah dalam Pengurusan Perakaunan dari Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Ibrahim sebelum ini pernah bertugas di beberapa organisasi ternama antaranya di EONCAP Islamic Bank Berhad (yang kemudiannya dikenali sebagai Hong Leong Islamic Bank Berhad), dan CIMB Investment Bank.
Selain itu, beliau juga pernah terlibat dalam dunia penyiaran dengan pengalaman berkhidmat sebagai penyampai radio di Business FM (BFM), dan Editor Kanan Hal Ehwal Semasa dan Penerbit Eksekutif di Astro AWANI.