Ibrahim Ali cabar polis ambil tindakan jika benar PERKASA ekstremis

Haider Yutim
Mac 1, 2014 08:00 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) hari ini mencabar mana-mana pihak yang mendakwa pertubuhan itu ekstrim atau bersifat perkauman, agar kemukakan bukti berkenaan dakwaan mereka.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali turut mencabar pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap dirinya dan juga PERKASA andainya mereka benar-benar merupakan golongan ekstremis.
"Kalau polis berpendapat PERKASA ni rasis ataupun ekstremis, polis ambil tindakan lah... saya tiada halangan. Jadi kalau polis hendak masukkan saya dalam penjara sekali lagi pun saya tak ada masalah. Saya dah masuk tiga empat kali dah... tiada masalah bagi saya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat penubuhan Barisan Perpaduan Nasional melibatkan 55 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam.
Ibrahim juga telah mempertahankan tindakan PERKASA yang selama ini menurutnya hanya 'mempertahankan perlembagaan dan juga rukun negara'.
Katanya PERKASA tidak pernah melakukan sebarang aktiviti 'ganas' seperti yang dianjurkan oleh BERSIH 2.0, serta menafikan mengeluarkan apa-apa kenyataan yang ekstrim.
"Jadi macam mana kata kita ekstremis? Siapa yang kata kita ekstremis? Siapa kata kita rasis?" soalnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menggesa semua pihak agar tidak menggalakkan penyebaran laporan mengenai tindakan kumpulan atau organisasi pelampau yang berkecenderungan menghancurkan kepercayaan antara kaum-kaum di negara ini.
Menurut beliau, sekiranya golongan ekstremis tersebut tidak diberi layanan atau publisiti, golongan itu tidak mendapat perhatian yang mereka ingini dan mereka tidak akan dapat menarik orang lain kepada mereka.
Ibrahim, ketika mengulas tentang kenyataan Najib itu menyokong penuh supaya golongan ekstremis itu tidak dilayan.
Bagaimanapun bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu meminta agar soalan samada PERKASA itu ekstremis ataupun tidak, ditanya sendiri kepada Perdana Menteri.
Menurut Ibrahim, pada pandangannya golongan ektremis yang dimaksudkan Najib itu lebih kepada mereka yang menulis di dalam blog dengan tulisan-tulisan berupa 'serangan' serta menggunakan nama-nama samaran.
#ekstremis #Ibrahim Ali #Melayu #PERKASA #perkauman #rasis
;