IBR: Sabah bakal jadi negeri pertama bebas rasuah

Ruzaini Zulkepli
Disember 12, 2017 13:51 MYT
Menurut Hasbilah, kejayaan ini menjadi satu isyarat yang baik untuk Negeri Sabah dalam membantu menjayakan usaha membanteras rasuah di negeri ini.
Sabah mencatatkan rekod baru apabila menjadi negeri pertama yang berjaya melengkapkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan agensi kerajaan dan Syarikat Milik Kerajaan (GLC).
Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Hasbilah Mohamad Salleh berkata, sebanyak 92 GLC dan agensi kerajaan telah menandatangani IBR di negeri ini.
"Untuk hari ini, kalau kita ambil kira ada lebih kurang 36 GLC sudah ikrar dan tandatangan dan agensi kerajaan 56 ... semuanya adalah 92 agensi telah menantangani dan ini satu rekod untuk Negeri Sabah."
"Insyaallah, kita akan berhubung dengan pihak Kerajaan Negeri Sabah untuk memaklumkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis IBR agensi GLC Negeri Sabah, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan, kejayaan ini menjadi satu isyarat yang baik untuk Negeri Sabah dalam membantu menjayakan usaha membanteras rasuah di negeri ini.
"SPRM tidak berseorangan, dengan ada komitmen ini, menunjukkan bahawa kita menjadi satu pasukan yang cukup kuat dan besar dalam bersama-sama untuk membanteras rasuah.
"Perkara yang kita nak pastikan adalah kita nak pastikan supaya kita dapat mengurangkan risiko berlaku rasuah di Sabah,"katanya.
#GLC #IBR #Majlis Ikrar Bebas Rasuah #Malaysia #Rasuah #Sabah #SPRM #syarikat milik kerajaan
;