IBR: Bukti komitmen warga peladang perangi rasuah
Bernama
Januari 26, 2023 15:30 MYT
Januari 26, 2023 15:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilakukan warga kerja Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), merupakan antara usaha organisasi itu dalam meningkatkan integriti dan menzahirkan komitmen mereka untuk bebas daripada gejala rasuah.
Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob berkata ia juga selaras dengan kebersamaan NAFAS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam membanteras gejala rasuah di setiap lapisan pertubuhan itu.
"IBR ini merupakan tanda komitmen atas kapasiti individu dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul, demi menjadikan NAFAS sebuah organisasi yang telus dan cemerlang.
"Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi ini memikul tanggungjawab memperbaiki sosioekonomi peladang, dengan tumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Zamri berkata penekanan ikrar yang dibuat secara sukarela ini penting, supaya setiap individu untuk melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab.
Terdahulu 257 warga kerja NAFAS dengan diketuai Zamri serta barisan ahli jemaah pengarah, pengurusan serta kakitangan pertubuhan itu, menyertai IBR di Ibu Pejabat NAFAS di Petaling Jaya, Selangor dengan disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Noor.
IBR merupakan inisiatif diperkenalkan SPRM, yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab supaya tidak terbabit dengan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.
-- BERNAMA