Ibnor Riza ditidurkan untuk jalani pembedahan di kepala
Astro Awani
Disember 2, 2023 23:01 MYT
Disember 2, 2023 23:01 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi era 80-an, Ibnor Riza ditidurkan bagi membolehkan pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan cecair di kepalanya.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh penyanyi Nizam Laksamana menerusi perkongsian pada Facebook (FB), pada Sabtu malam.
Nizam memberitahu, isteri Ibnor memaklumkan bahawa suaminya menjalani pembedahan pada pukul 9 malam tadi.
"Kawan-kawan yang dikasihi. Saudara kita, Ibnor Riza ditidurkan bagi tujuan pembedahan di kepala. Ini dibuat bagi mengeluarkan air yang ada di kepala di mana ia beri tekanan dan kesakitan yang amat," katanya.
Nizam juga memohon peminat dan rakan-rakan Ibnor mendoakan kesejahteraan kepada penyanyi itu.
"Mohon jasa baik kawan-kawan doakan akan keafiatan, kekuatan dan semoga pembedahan nanti tiada sebarang kesukaran.
"Mudah-mudahan doa kawan-kawan Allah perkenan dan makbulkan. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada saudara kami ini untuk melalui masa yang sangat menyulitkan ini.
"Kasihanilah dia Ya Allah," katanya.
Pada 19 Februari lalu, Ibnor yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.
Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk
Setakat ini, Ibnor yang turut popular dengan lagu Berdiri Seorang Perindu dan Mimpi Yang Tak Sudah dilaporkan sudah melalui proses kemoterapi sebanyak sembilan kali.
#Ibnor Riza
#penyanyi
#Pembedahan
#kanser
#Meneka Dalam Kesamaran
#Berdiri Seorang Perindu
#ditidurkan