Ibarat sebuah keluarga, rakyat Malaysia berganding bahu hadapi musibah
Bernama
Disember 20, 2021 18:35 MYT
Disember 20, 2021 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Musibah banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor sejak Sabtu mendorong pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang perseorangan untuk bersatu di bawah semangat Keluarga Malaysia dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.
Keprihatinan rakyat Malaysia dan kuasa media sosial membantu capaian bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas, apabila pelbagai pihak mula membuka pintu, menawarkan perlindungan serta bantuan apabila bencana banjir semakin buruk.
Media sosial sejak Sabtu juga dipenuhi dengan pelbagai hantaran mangsa yang inginkan bantuan serta ramai rakyat Malaysia yang cuba menghulurkan pertolongan sedaya upaya mereka, dengan meletakkan tanda pagar #DaruratBanjir dan #kitajagakita.
Ketua Jabatan Pengurusan Projek Global Peace Malaysia (GPM) Ahmad Hamizan Ahmad Horman, 27, ketika dihubungi Bernama, berkata GPM sebagai sebuah NGO sangat memahami kesukaran yang dihadapi mangsa, dan menghulurkan pelbagai jenis bantuan di kawasan tiga negeri yang teruk terjejas.
"Setakat hari ini, kami dah salurkan bantuan di kawasan Shah Alam, Meru dan Hulu Langat di Selangor, Rembau di Negeri Sembilan, dan Lubok Cina di Melaka," katanya.
Menurut Hamizan antara bentuk bantuan adalah mewujudkan pusat pengumpulan barang sumbangan di Gudang GPM di Taman Cemerlang, Gombak dan di beberapa daerah lain serta bantuan pembersihan rumah dan kawasan yang terjejas.
"Kami kumpul apa-apa sahaja barang keperluan di sini, sama ada pakaian, selimut, air mineral, roti, biskut, tikar dan lain-lain.
"Kami juga ada pecahan kumpulan yang bergerak ke pelbagai lokasi dan hari ini kita ada buat kumpulan mencuci di Rembau dan Hulu Langat," katanya.
Selain itu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama membantu mangsa banjir yang terjejas, di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
"MyCARE memberi bantuan 4,000 pek makanan siap dimasakdi Shah Alam termasuk Seksyen 23 dan 24, Kampung Baru Hicom, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Hicom dan pusat pemindahan sementara (PPS) Seksyen 19.
"Hari ini kami akan edarkan lagi 2,000 pek makanan dan 500 pek alatan mandian," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Kamarul Zaman Shaharul Anwar yang turut memaklumkan sebanyak RM200,000 berjaya dikutip oleh organisasi itu setakat hari ini.
Dalam pada itu, seorang daripada petugas Skuad Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Muhammad Syaril Showkat Ali, 31, ketika dihubungi Bernama berkata pelbagai bantuan dari NGO dan orang perseorangan, diterima tiga PPS di kawasan berkenaan.
"Alhamdulillah kami terima banyak khidmat sukarelawan untuk membantu semua PPS dari segi penempatan, bantuan makanan yang bukan sahaja dari pejabat DUN malah syarikat korporat, orang persendirian dan NGO," katanya sambil memberitahu mereka turut menerima bantuan ubat-ubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya antara pihak yang turut menyumbang ialah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor); Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS); Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM); Angkatan Muda Keadilan (AMK); Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (Pemadam) Selangor; GPM Selangor dan lain-lain.
"MBI Selangor menyumbangkan 2,000 set pek makanan dan minuman, alatan pembersihan diri dan alatan tidur, manakala PPAS dan MKM bagi pek makanan siap dimasak dan bantuan asas lain yang turut diberikan oleh GPM Selangor, AMK, ABIM, Pemadam dan NGO lain," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook Muhsin Zaidi menerusi hantarannya menzahirkan rasa bangga dan terharu atas keprihatinan dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan rakyat di negara ini, apabila menyaksikan kesungguhan penduduk dari utara membantu mangsa di Lembah Klang.
"Sepanjang jalan atas lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dari Ipoh, banyak nampak kereta guna plat luar bawa bot menuju ke arah Lembah Klang, ada yang tarik guna lori, atas bumbung kereta pun ada.
"Tahniah rakyat Malaysia yang prihatin, sanggup jalan jauh untuk bantu mereka yang terkandas. Orang Malaysia ramai lagi yang baik-baik dan penyayang," katanya.
Hantaran itu turut mendapat komen balas dari seorang pengguna Facebook lain, Roy Azman yang menulis: kami (orang utara) turun ke Lembah Klang untuk membantu dan memberi sumbangan kepada mangsa yang terjejas.
"Kami bantu sebab dulu masa utara kena musibah, orang Lembah Klang banyak yang datang bantu dan beri sumbangan...kami nak balas jasa anda semua #Biarjasajadikenangan," katanya menerusi komen di hantaran Facebook itu.
-- BERNAMA