Ibarat peluang kedua, warga emas bekas pesakit COVID-19 lega sudah divaksinasi
Fareez Azman
Jun 7, 2021 15:27 MYT
Jun 7, 2021 15:27 MYT
KUALA LUMPUR: Saban hari kes COVID-19 mencatat angka ribuan kes positif baharu COVID-19. Tidak terlepas golongan warga emas yang berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.
Begitu juga dengan apa yang telah dilalui oleh Cindy Ngiam, 61 tahun. Warga emas itu baharu sahaja menerima suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin.
Dia bersama abangnya Tong Teck Ngiam, 66 tahun, yang juga orang kurang upaya (OKU), dilihat beredar meninggalkan pusat vaksinasi kira-kira jam 12 tengah hari.
Jelas Cindy, dia dan abangnya turut menjadi mangsa virus itu pada awal Januari lalu.
Menurut wanita itu, keadaannya tidak seteruk abangnya yang memerlukan bantuan oksigen di Hospital Sungai Buloh.
"Abang saya kena COVID-19 pada Januari 2021, mula-mula takut nak buat vaksinasi sebab saya dengar banyak cerita pasal vaksin.
"Lepas itu saya dengar ramai orang dah terima vaksin, jadi saya rasa selamat. Lagipun abang saya ada banyak masalah kesihatan," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI.
Keadaan Tong, jelas Cindy, semakin buruk apabila tahap oksigen dalam badannya menurun pada 11 Januari lalu.
"Dia pun kena COVID-19, masuk Hospital Sungai Buloh, dia didapati positif pada 5 Januari.
"Ambulans ambil dia 11 Januari, hari pertama dia masuk, oksigen dia dah jatuh, doktor pasang tiub nasal.
"Jadi dia terima oksigen selama tiga hari, hari keempat doktor dah beritahu oksigen dia semakin baik," katanya lagi.
Hanya lima hari di Hospital Sungai Buloh, Tong dan Cindy akhirnya dibenarkan pulang selepas pulih.
Bimbang berita tular
Mereka tidak menafikan, pada awalnya pelbagai berita tidak benar mengenai kesan vaksin terhadap penerima seperti yang tular di laman sosial membuatkan mereka agak khuatir.
Namun bagi Cindy dan Tong, peluang kedua yang mereka kecapi selepas mengharungi detik hitam sebagai pesakit COVID-19, tidak disia-siakan.
Dengar sahaja pendaftaran dibuka bagi golongan warga emas, Cindy pantas mendaftar demi keselamatannya dan abangnya.
Cindy mengakui, hanya vaksinasi jalan terbaik untuk memastikan dirinya dan Tong tidak menjadi mangsa buat kali kedua oleh wabak itu.
"Mula-mula saya rasa takut nak buat vaksinasi, sebab saya dengar banyak cerita pasal kesan vaksin, saya takut juga.
"Bila saya dengar ramai orang dapatkan vaksin, baru saya rasa selamat.
"Saya nak bagi tahu semua orang di luar sana, jangan takut untuk dapatkan vaksin, sebab kes semakin tinggi di Malaysia.
"Jadi kena cepat dapatkan vaksin, saya pun dah ambil dos pertama hari ini, saya sangat gembira," katanya lagi.
Sebanyak 1.2 juta dos suntikan vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada warga emas bagi pusingan kedua inisiatif itu bermula hari ini sehingga 27 Julai 2021.
Ia melibatkan lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang.
#Kuala Lumpur
#OKU
#warga emas
#laman sosial
#Malaysia
#COVID-19
#kes positif
#vaksin
#AstraZeneca
#Hospital Sungai Buloh
#suntikan
#dos pertama
#Pusat Pemberian Vaksin