Ibadah umrah dibenarkan semula bermula 8 Februari - Nancy
Bernama
Januari 26, 2022 19:17 MYT
Januari 26, 2022 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Jan lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron COVID-19.
“Baru tadi kami (Kabinet) sudah membuat keputusan…kita tidak mahu memanjangkannya lagi (tempoh penggantungan) jadi apabila 8 Feb ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan perjalanan umrah selepas Majlis Pelancaran Video Kempen Dream Malaysia di sini, hari ini.
Nancy berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak.
“SOP dari dulu sama. Tinggal (cuma) hanya ada beberapa SOP baharu untuk mereka (jemaah) dan itu akan dibincang bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.
Pada 1 Jan lepas, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan susulan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata penilaian risiko situasi COVID-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.