Ibadah korban dibenarkan di Perlis dengan pematuhan SOP

Bernama
Jun 19, 2021 10:58 MYT
Titah Tuanku Syed Faizuddin, pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai langkah pencegahan. - Gambar fail
KANGAR: Perlis membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hanya boleh dilakukan di pusat sembelihan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semua masjid hanya dibenarkan untuk mengelola ibadah korban manakala pelaksanaan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah tertakluk kepada keadaan penularan dan perkembangan wabak semasa.
"Pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta serta premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs)," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah mereka yang ingin mengelola ibadah korban hendaklah mengemukakan borang permohonan ibadah korban tahun 1442H/2021M negeri Perlis kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya tujuh hari daripada tarikh 10 Zulhijjah 1442H (20 Julai).
Titah baginda, pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai langkah pencegahan dan aktiviti jamuan kenduri tidak dibenarkan.
"Sebagai langkah persediaan untuk solat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid adalah diminta untuk melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah-langkah proaktif," titah baginda.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Syed Faizuddin bertitah MAIPs sedang mempertimbangkan kebenaran kepada mereka yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 untuk menyertai solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan aktiviti-aktiviti lain di masjid.
-- BERNAMA
#Raja Muda Perlis #Perlis #COVID-19 #Ibadah Korban #suntikan #vaksin #solat fardu #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #MAIPs #NGO #Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis #pusat sembelihan #pematuhan #masjid #borang permohonan #dua dos
;