Ibadah haji: Kerajaan tunggu pengumuman Arab Saudi
Ridauddin Daud
Mei 20, 2020 16:00 MYT
Mei 20, 2020 16:00 MYT
Kerajaan akan menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi sebelum memutuskan untuk membenarkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga hari ini tiada sebarang pengumuman dibuat kerajaan Arab Saudi berhubung perkara tersebut.
“Setakat hari ini, kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman sama ada tahun ini boleh mengerjakan haji atau tidak. Setakat ini perintah berkurung untuk hari raya dilaksanakan tetapi untuk mengerjakan haji masih belum ada pengumuman.
“Jadi saya percaya keputusan untuk hantar (jemaah haji) atau tidak tertakluk kepada pengumuman yang akan dibuat Arab Saudi. Kalau kata buka, mungkin Menteri Hal Ehwal Agama akan buat keputusan.
“Tiada guna kalau kita buat keputusan sekarang tapi Arab Saudi belum buat apa-apa keputusan pun. Jadi saya percaya Menteri Hal Ehwal Agama akan menunggu keputusan dari Arab Saudi terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media harian pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan arahan bekerja dari rumah buat kakitangan kerajaan masih dilaksanakan dan tiada arahan menarik balik perkara tersebut.
“Kita sudah membuka pejabat-pejabat kerajaan walaupun tidak sepenuhnya. Dari jumlah yang dibuka, 80 peratus daripada kakitangan bekerja di pejabat dan 20 peratus masih bekerja di rumah
“Alasan masih perlu bekerja di rumah kerana tabika dan sekolah masih belum dibuka. Mereka yang ada anak kecil masih boleh bekerja di rumah. Keseluruhannya, 20 peratus masih bekerja di rumah dan arahan bekerja di rumah masih kekal sehingga hari ini,” katanya.
#Arab Saudi
#Haji
#hari raya
#ismail sabri yaakob
#kerja dari rumah
#Malaysia
#Menteri Hal Ehwal Agama
#pengumuman
#perintah berkurung
#TABIKA