IATA sokong pemakaian penutup hidung, mulut dalam pesawat
Bernama
Mei 6, 2020 14:42 MYT
Mei 6, 2020 14:42 MYT
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyokong pemakaian penutup hidung dan mulut bagi penumpang dan anak kapal ketika berada di dalam pesawat.
Ia berkata, langkah itu merupakan bahagian penting dalam pendekatan berlapis untuk keselamatan bio dilaksanakan sementara apabila ramai kembali melakukan perjalanan udara.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac berkata. industri penerbangan bekerjasama dengan kerajaan untuk memulakan kembali penerbangan di samping melaksanakan langkah perlu seperti pemakaian penutup hidung dan mulut bagi penumpang dan anak kapal dengan tambahan lapisan perlindungan.
"Kita perlu mencapai penyelesaian yang dapat memberi keyakinan kepada penumpang untuk menggunakan perjalanan udara dan menjadikan kos penerbangan berpatutan. Jika satu daripadanya tiada, maka penyelesaian tersebut tidak akan mempunyai manfaat yang berkekalan, " katanya dalam kenyataan hari ini.
IATA berkata, bukti menunjukkan risiko jangkitan di dalam pesawat adalah rendah.
Pemakaian penutup hidung dan mulut oleh penumpang dan anak kapal akan mengurangkan risiko yang telah sedia rendah di samping mengelakkan kenaikan kos ketara bagi perjalanan udara susulan langkah penjarakan sosial dalam pesawat, katanya.
Bagaimanapun, IATA tidak menyokong langkah mewajibkan penjarakan sosial dalam pesawat kerana tempat duduk tengah akan dikosongkan.
de Juniac berkata, walaupun diwajibkan, pengosongan tempat duduk tengah sebenarnya tidak mencapai pengasingan seperti disyorkan.
Ini memandangkan kebanyakan pihak berkuasa menyarankan satu hingga dua meter bagi penjarakan sosial, sedangkan lebar tempat duduk rata-rata kurang daripada 50 centimeter, katanya.
"Saranan penjarakan sosial dalam pesawat akan mengubah ekonomi penerbangan secara dasarnya dengan mengurangkan faktor muatan maksimum kepada 62 peratus. Angka itu jauh di bawah angka purata faktor muatan pulangan industri pada 77 peratus.
"Berdasarkan tempat duduk untuk dijual berkurangan, kos unit akan meningkat ketara. Jika dibandingkan dengan 2019, tambang udara perlu naik secara mendadak di antara 43 peratus dan 54 peratus bergantung pada wilayah -- hanya untuk menampung kos sahaja," katanya.
Syarikat penerbangan sedang bergelut demi kelangsungan mereka dan langkah mengosongkan tempat duduk tengah akan menaikkan kos.
Sekiranya itu dapat diimbangi dengan tambang yang lebih tinggi, era perjalanan tambang rendah pula akan berakhir, pada masa sama, jika syarikat penerbangan tidak dapat menutup kerugianya dengan tambang yang tinggi, maka ia akan mengalami bankrap.
"Tiada pilihan yang baik ketika dunia memerlukan kesalinghubungan yang kukuh untuk membantu memulakan pemulihan daripada kemelesetan ekonomi akibat COVID-19," kata de Juniac. - BERNAMA
#anak kapal
#COVID19
#dalam pesawat
#IATA
#pemakaian
#penumpang
#penutup hidung dan mulut
#Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa