IATA akan timbang lebih 30 pilihan teknologi kesan pesawat

Bernama
Jun 3, 2014 07:43 MYT
IATA mempunyai beberapa penyelesaian sedia ada dan telah menubuhkan pasukan petugas khas
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) akan menimbang lebih 30 pilihan teknologi untuk mengesan semua pesawat dalam penerbangan susulan tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia Airlines 370 (MH370), kata Naib Presiden Kanannya Kevin Hiatt.
Beliau berkata persatuan itu mempunyai beberapa penyelesaian sedia ada dan telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengusulkan cadangan pilihan penyelesaian mengesan pesawat.
Ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesyorkan cadangan yang termasuk menggalakkan syarikat penerbangan menggunakan peralatan serta prosedur sedia ada bagi memaksimumkan seboleh mungkin sokongan pengesanan pesawat.
"Banyak pilihan dijangka disyorkan. Bagaimanapun pilihan-pilihan itu tidak dijangka menjadi "satu pilihan yang boleh menyelesaikan semua perkara"," katanya kepada pemberita semasa mesyuarat agung IATA di sini, pada hari Selasa.
Draf laporan dijangka dikemukakan kepada ICAO pada September dengan lembaga pengarah kumpulan syarikat penerbangan itu akan menimbang langkah-langkah tersebut pada Disember.
Dilaporkan sebelum ini bahawa pakar penerbangan hanya menumpukan kepada mengesan pesawat dan bukan kepada penstriman data penerbangan dalam pesawat.
Menurut Hiatt, ICAO telah menanyakan kepada wakil industri pilihan yang mereka mahu usulkan.
"Kami mempunyai lebih 30 vendor yang layak yang akan menilai perkara ini," katanya sambil menambah kumpulan itu akan mengkaji pilihan-pilihan tersebut pada bulan-bulan akan datang.
Menurut laporan IATA, terdapat 0.34 kemalangan bagi setiap juta penerbangan dalam tempoh empat bulan 2014 berbanding 0.32 dalam tempoh lima tahun sebelumnya.
Mengenai kadar awal bagi industri secara keseluruhannya (tidak termasuk syarikat penerbangan bukan-IATA), beliau berkata 0.29 kemalangan bagi setiap juta penerbangan pada Januari-April dilaporkan berbanding 0.48 dalam tempoh lima tahun sebelumnya.
Industri mencatatkan tiga kemalangan antara Januari dan April, termasuk kehilangan misteri pesawat MH370.
"Pemegang kepentingan penerbangan bersatu hati dalam hasrat mereka untuk memastikan kita tidak akan berdepan lagi dengan situasi yang sama di mana sebuah pesawat boleh hilang begitu sahaja," kata Hiatt.
Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang.
Usaha pencarian meluas di Lautan Hindi setakat ini masih belum dapat mengesan kedudukan pesawat itu.
#Malaysia Airlines #MAS #MH370 #Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA)
;