i-Suri mendapat sambutan menggalakkan - Dr Wan Azizah
Bernama
September 29, 2018 06:31 MYT
September 29, 2018 06:31 MYT
Seramai 11,562 suri rumah telah mendaftar dalam program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak pendaftaran dibuka pada 15 Ogos lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jumlah itu menunjukkan skim yang diwujudkan khas untuk golongan wanita terutama suri rumah semakin mendapat sambutan, selain itu, bagi Caruman Sukarela Insentif Persaraan atau i-Saraan pula seramai 12,843 wanita sudah berdaftar dengan skim itu setakat ini.
"Sehingga 20 Sept lepas, lebih 11,000 wanita sudahpun berdaftar dengan i-Suri sementara lebih 12,000 telah berdaftar dengan i-Saraan. Pelaksanaan dua program itu adalah contoh kepada perancangan yang lebih inklusif dan proaktif kepada kumpulan sasar iaitu suri rumah supaya mereka mempunyai simpanan untuk persaraan," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Program Santuni Rakyat di Pandan Indah dekat sini, pada Sabtu.
Turut hadir Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan prihatin terhadap golongan suri rumah khususnya yang tergolong sebagai miskin dan miskin tegar.
Dalam pada itu, beliau memuji Kerajaan Negeri Selangor yang melantik lima ketua kampung terdiri daripada golongan wanita di negeri berkenaan sekali gus menunjukkan usaha mereka dalam memperkasakan golongan terbabit.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan butiran lanjut mengenai lima wanita yang dilantik sebagai ketua kampung itu.
Mengenai Program Santuni Rakyat, Dr Wan Azizah berkata ia merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh kementerian dan agensi di bawahnya.
Katanya kumpulan sasar kementerian merupakan golongan rentan terdiri daripada golongan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, gelandangan, wanita, keluarga dan mangsa bencana, maka Program Santuni Rakyat sangat signifikan dan relevan dalam mendekati serta membantu golongan yang memerlukan.
-- BERNAMA