i-Sinar KWSP: Ramai 'scammer' yang memerhati, elak pelaburan berisiko - Perunding Kewangan
Hafizi Rosli
Disember 21, 2020 12:34 MYT
Disember 21, 2020 12:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pencarum yang layak membuat pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar disaran tidak menggunakan wang itu bagi kegunaan pelaburan.
Menurut perunding kewangan, Abuayubul Ansari, risiko melabur ketika ini sangat tinggi kerana banyak pihak yang tidak bertanggungjawab sedang memerhati mangsa untuk ditipu.
"Kalau dapat duit ini jangan masuk pelaburan sebab banyak scam sudah memerhatikan anda dan ia sangat memberi risiko.
"Ketika pandemik ini eloklah kita simpan sebab tidak tahu bila kemelesetan eknonomi ini akan berakhir dan sekurangnya kita bersedia ada simpanan," jelas Abuayubul atau lebih dikenali sebagai Abang Abu.
Jelasnya, ketika suasana ekonomi yang suram ini, terdapat pelbagai peluang untuk menjana pendapatan baharu.
Dengan duit yang ada, pencarum boleh melabur kepada diri sendiri dengan meningkatkan ilmu kemahiran dan kepakaran bagi sesuatu bidang.
Mendalami bidang digital pada ketika ini dilihat mampu untuk beri ilmu mendalam dalam mengembangkan perusahaan atau perniagaan yang dilakukan.
"Mungkin boleh ambil sedikit duit yang kita dapat untuk menghadiri kursus-kursus terutama berkaitan digital dan gunakan inisiatif kerajaan yang ada dengan kursus percuma.
"Ilmu digital sangat penting terutama dalam mengembangkan perusahaan yang boleh meningkatkan pendapatan sampingan kita," jelasnya.
Beliau turut menyatakan sekiranya mempunyai peluang untuk dapat mengeluarkan simpanan ini, ia semestinya harus direbut oleh orang ramai.
Namun harus disalurkan ke saluran yang betul.