i-Sinar, i-Lestari bukti langkah berani kerajaan PN bantu golongan terjejas

Bernama
Februari 27, 2021 11:15 MYT
Kemudahan i-Sinar dan i-Lestari itu hadir bertepatan pada masanya bagi membantu ramai sepertinya yang memerlukan bantuan kewangan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yang genap setahun menerajui kerajaan pada 1 Mac ini, terbukti telah mengambil langkah berani membantu rakyat mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam persekitaran serba mencabar.
Mereka yang terjejas, termasuk kehilangan kerja dan punca pendapatan susulan impak penularan pandemik COVID-19, juga mampu menarik nafas lega apabila kemudahan dalam bentuk program i-Sinar dan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperkenalkan bagi meringankan beban yang digalas.
Bagi mereka, tindakan sedemikian telah membuktikan sejauh mana kesungguhan kerajaan membantu golongan yang memerlukan selain turut menjadi antara pencapaian tersendiri PN.
Kemudahan pengeluaran i-Lestari yang diperkenalkan pada 3 Mac, 2020 -- beberapa hari selepas pembentukan kerajaan PN, membabitkan inisiatif pengeluaran sebanyak RM500 yang dimulakan pada 1 April, 2020 selama 12 bulan yang keseluruhannya berjumlah RM30 bilion.
i-Sinar pula merupakan lanjutan daripada kemudahan pengeluaran i-Lestari dengan kelulusan syaratnya turut dipermudah baru-baru ini dengan mengambil kira sentimen rakyat.
Laporan menyatakan dianggarkan kira-kira RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonannya dibuka pada Disember 2020 yang memberi manfaat kepada 3.3 juta ahlinya.
i-Sinar | Proses kelulusan i-Sinar akan dipermudahkan
Apa yang pasti, bagi kebanyakan penerima kemudahan itu, wang tersebut turut menyuntik harapan serta peluang untuk mereka kembali bangkit menjana pendapatan, termasuk memulakan perniagaan selepas mengalami kesukaran akibat kesan COVID-19.
"Keuntungan perniagaan yang diraih mungkin kecil, namun apa lebih penting adalah dapat memastikan masih mampu menyediakan makanan untuk dikongsi bersama keluarga," demikian luahan Azuar Fahmi Mohd Ali, 30, kepada Bernama, baru-baru ini.
Kenapa pemohon i-Lestari tidak terus diluluskan ke i-Sinar? Ini penjelasan KWSP
Bekas wartawan Utusan Malaysia itu mengakui kesukaran mendapat kerja ketika pandemik itu bermula yang memaksa beliau meninjau alternatif lain, termasuk menjual gajet demi menyara keluarga.
"Sebelum pandemik ini, saya sepatutnya menjalani beberapa temu duga kerja namun peluang itu hilang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Oleh itu, saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual gajet dan Alhamdulillah ia dapat memberi sedikit pendapatan sementara mendapat kerja tetap," katanya.
Pada masa sama, Azuar Fahmi juga perlu melunaskan hutang bagi membolehkan bebanan kewangannya dapat dikurangkan sekiranya pandemik itu terus berlanjutan.
"Oleh itu, bagi saya, kerajaan PN telah mengambil tindakan pantas dan wajar dengan melaksanakan inisiatif i-Sinar dan i-Lestari kerana kita sendiri tidak pasti sejauh mana pandemik ini akan terus berlaku.
"Kes harian COVID-19 juga masih tinggi. Selain membuat pengeluaran (caruman), saya juga perlu mengekalkan simpanan KWSP (demi masa depan)," katanya yang kini berkhidmat sebagai wartawan di sebuah portal kewangan.
Sementara itu, Basir Zahrom, 37, turut bertindak mengusahakan perniagaan selepas bekas majikannya melaksanakan langkah pemberhentian pekerja pada Ogos tahun lepas.
Justeru, beliau menyifatkan kemudahan i-Sinar dan i-Lestari itu hadir bertepatan pada masanya bagi membantu ramai sepertinya yang memerlukan bantuan kewangan.
"Saya bersyukur, lega serta gembira kerana inisiatif ini amat membantu kelangsungan hidup lebih-lebih lagi dalam menghadapi keadaan ekonomi getir seperti sekarang.
"Walaupun maklum bahawa simpanan KWSP adalah dana persediaan untuk hari tua, namun kami juga berada dalam keadaan memerlukan sumber kewangan pada masa itu.
"Selepas diberhentikan kerja, saya memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual tanah hitam, baja dan anak pokok sayuran untuk menjana pendapatan," katanya.
Basir yang kini memulakan tugas sebagai pegawai eksekutif di sebuah universiti awam, berkata hayat perniagaannya juga tidak lama apabila berdepan masalah kesukaran mendapatkan bekalan akibat sekatan pergerakan.
"Mujur saya bertindak melupuskan dan mengurangkan baki hutang peribadi, kad kredit dan kereta selain membuat simpanan supaya duit gaji bulanan ini boleh digunakan untuk membeli barang keperluan harian," katanya,
Bagi suri rumah, Norizan khalid, 39, pendapatan keluarganya terkesan apabila sumber rezeki suaminya sebagai peniaga pasar malam terjejas akibat penutupan sementara aktiviti berkenaan bagi mengekang penularan COVID-19.
Menurutnya, ini berikutan keluarganya amat bergantung kepada perniagaan suami menyara kehidupan serta keperluan harian mereka sekeluarga.
"Pada masa ini, suami telah mula berniaga di tepi jalan. Tetapi wang menerusi i-Sinar itu dapat digunakan untuk membayar hutang tertunggak dan bakinya disimpan untuk menampung perbelanjaan harian," katanya.
-- BERNAMA
#i-sinar #i-lestari #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKP #Perikatan Nasional #PN #KWSP #Malaysia #Berita Terkini #Berita AWANI #berita Malaysia
;