i-Sinar: Harapan baharu untuk kumpulan terjejas, permohonan Kategori 1 berjalan lancar
Hasimi Muhamad
Disember 21, 2020 13:05 MYT
Disember 21, 2020 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Permohonan kemudahan i-Sinar bagi Kategori 1 yang bermula hari ini, antara perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Meskipun permohonan boleh dibuat secara dalam talian, namun pemohon turut mengambil peluang untuk mengunjungi cawangan-cawangan KWSP termasuk Ibu Pejabat KWSP, di Jalan Raja Laut, di sini bagi mendapatkann penjelasan lanjut.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati rata-rata yang hadir diberi panduan yang jelas oleh pegawai KWSP dalam membantu melancarkan permohonan i-Sinar secara dalam talian.
Bahkan, keadaan di perkarangan Ibu Pejabat KWSP sehingga tengah hari tadi masih dalam keadaan terkawal.
Bagi pemohon Orang Kurang Upaya (OKU), Kumar Thanabalan, 42, insiden kemalangan yang menimpanya enam tahun lalu mengakibatkan dia kehilangan sumber pendapatan.
Justeru, kemudahan i-Sinar disifatkan sebagai berita gembira dalam meringankan beban dia menyara ibunya.
"Sebelum saya hadir, saya membuat permohonan dalam talian pada bulan November lalu, dan hari ini saya dapat melakukan permohonan dengan mudah.
"Saya berjumpa dengan pegawai dan mereka membantu saya untuk membuat permohonan. Sekarang ini, saya hanya tunggu pembayaran pertama pada Januari depan," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Sementara itu, ibu tunggal Rusyati Mohd Derus, 49, berkata dia berpuas hati dengan proses permohonan kemudahan i-Sinar dan perkhidmatan yang diberikan sepanjang proses tersebut.
"Masa kita masuk ke dalam kerani dah tunggu di dalamm jadi untuk proses itu (status permohonan) saya tanya berapa lama sebab saya tidak bekerja dan memang tiada caruman.
"Saya pula ibu tunggal dan jatuh sakit, serta sudah tidak bekerja sejak lima atau enam tahun. Jadi, apabila ada (kemudahan i-Sinar), ia memang memberi faedah yang banyak untuk saya," tambah ibu kepada empat orang cahaya mata itu.
Bagi beberapa pemohon lain pula, mereka berkata permohonan secara dalam talian telah dibuat namun tidak berjaya, membuat mereka memilih untuk datang ke KWSP.
Bagaimanapun, jelas mereka proses permohonan tersebut tidak mengambil masa yang lama.
"Saya datang sini baru tadi (sekitar 10.40 pagi), selepas itu pekerja-pekerja KWSP datang membantu. Mereka ajar macam mana untuk mengisi permohonan secara dalam talian," katanya yang bercadang untuk menyelesaikan hutang sekiranya permohonan i-Sinar diluluskan kelak.
Sementara Rijot Patisin, 48, yang sudah 10 bulan tidak bekerja menambah, kemudahan i-Sinar menjadi tempat bergantung untuk meringankan beban menyara anak-anak yang masih bersekolah.
Bagi Kategori Satu, tiada dokumen sokongan diperlukan, dan kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP.
Ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my dan pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021