i-MILIKI kecualikan duti setem bagi pembelian rumah pertama - PM
Hilmi Malik
Julai 15, 2022 17:16 MYT
Julai 15, 2022 17:16 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan mengumumkan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama menerusi inisiatif i-MILIKI yang bermula berkuat kuasa 1 Jun 2022 hingga Disember 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, i-MILIKI melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama mengikut harga rumah.
“Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus.
“Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.
“Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) dan Pelancaran Karnival Jom Beli Rumah di ibu negara pada Jumaat.
Ismail Sabri dalam masa sama menyatakan, jelajah Karnival Jom Beli Rumah Tahun 2022 merupakan usaha kerajaan dengan kerjasama REHDA dalam memperkasa pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan sasaran B40 dan M40.
“Saya bersetuju dengan pendekatan Karnival Jom Beli Rumah ini yang akan diadakan di seluruh negara dengan membawa mesej dan inisiatif-inisiatif Kerajaan termasuklah Kerajaan Negeri khususnya dalam soal perumahan.
“Saya juga sedar kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi namun kita perlu terus membantu rakyat dengan memperkasa agenda pemilikan kediaman melalui lebih inisiatif tersusun yang dirangka oleh KPKT,” katanya lagi.