i-Citra mula dikreditkan 2 Ogos, ini nasihat pakar kewangan!

Hasimi Muhamad
Ogos 2, 2021 20:01 MYT
i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2 - Gambar Instagram KWSP
KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pengguna (KWSP) yang bakal menikmati manfaat daripada kemudahan i-Citra yang mula dikreditkan secara berperingkat bermula hari ini dinasihatkan merancang perbelanjaan mereka.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata seperti semua sedia maklum, wang simpanan tersebut bukan untuk dibazirkan memandangkan ia adalah simpanan untuk hari tua.
Menyedari situasi semasa, Mohd Afzanizam berkata pengeluaran i-Citra dilaksanakan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
"Justeru, tujuan penggunaan i-Citra ini sebaiknya adalah untuk tujuan yang asas dan penting supaya ia dapat menepati tujuan utama kenapa program ini diperkenalkan iaitu untuk meringankan dan melegakan beban kewangan terutamanya bagi mereka yang terkesan.
"Pilihan di tangan para pencarum untuk membuat keputusan yang sebaik-baiknya kerana berdasarkan kelayakan dan syarat-syarat, saya kira ramai yang memenuhinya. Justeru para pencarumlah yang sebaik-baiknya membuat keputusan terbaik bagi diri mereka," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini memaklumkan kemudahan i-Citra akan memanfaatkan seramai empat juta ahli KWSP.
i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.
Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID- 19 serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata pakej rangsangan yang disediakan oleh kerajaan ketika ini dilihat memadai.
Bagaimanapun ia perlu dipastikan sampai kepada golongan sasaran dengan kadar segera, katanya.
Selain peruntukan kerajaan, beliau menambah apa yang penting adalah untuk mempercepatkan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dalam memastikan kelestarian dan pemulihan ekonomi.
"Tanpa pembukaan ekonomi secara menyeluruh, maka kita akan sentiasa berhadapan dengan keadaan kelembapan ekonomi kerana terdapat pelbagai sektor yang akan mengalami pelbagai kekangan dari sudut pemoperasian.
"Sebagai contoh seperti sektor berkaitan pelancongan, makanan dan minuman, atau industri logistik terutamanya penerbangan. Jadi, akibat ekonomi yang masih lagi terlalu banyak kekangan, adalah amat penting untuk kita menentukan bilakah ekonomi itu dibuka. Segala usaha perlu digembleng untuk ke arah ini termasuk program-program vaksin yang saya kira telah mencapai tahap yang baik," ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan sentiasa dalam keadaan bersiap-sedia untuk menyediakan pakej rangsangan lain bergantung kepada keadaan semasa.
#COVID-19 #KWSP #Kemudahan i-Citra #Pembayaran i-Citra #i-Citra 3 Ogos #i-sinar #ekonomi malaysia #bantuan kerajaan #pembukaan semula ekonomi #PKP 3 0 #berita hari ini
;