i-Citra: 4.98 juta permohonan berjumlah RM20.58 bilion diluluskan - MOF

Astro Awani
September 30, 2021 11:04 MYT
Daripada jumlah pengeluaran tersebut, sebanyak RM4.71 bilion telah dikreditkan kepada ahli iaitu bersamaan 23 peratus daripada pengeluaran yang diluluskan. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4.98 juta permohonan i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan melibatkan amaun pengeluaran berjumlah RM20.58 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM4.71 bilion telah dikreditkan kepada ahli iaitu bersamaan 23 peratus pengeluaran yang diluluskan.
"Baki amaun pengeluaran akan dikreditkan kepada ahli berdasarkan jadual bayaran yang telah ditetapkan bagi pengeluaran i-Citra dan pembayaran terakhir adalah pada bulan Februari 2022," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bertarikh 29 September 2021.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu berkenaan status terkini program i-Citra KWSP yang dilaksanakan pada bulan Julai 2021.
i-Citra membolehkan ahli yang berumur di bawah 55 tahun untuk mengeluarkan simpanan sehingga RM5,000 tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 1 dan Akaun 2 selain perlu mengekalkan baki minimum sebanyak RM100 dalam Akaun 1.
Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara berkala sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000.00 sebulan.
Permohonan i-Citra telah dibuka kepada ahli pada 12 Julai 2021 sehingga 30 September 2021 dengan pertama telah dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021.
#KWSP #pengeluaran i-Citra #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Bantuan COVID-19
;