i-Biaya bantu tingkatkan pemilikan rumah golongan M40, B40
Bernama
April 12, 2022 20:06 MYT
April 12, 2022 20:06 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) adalah satu daripada empat komponen di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE) sebagai usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT Datuk Azhar Ahmad berkata inisiatif itu memberi tumpuan terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang masih berhadapan dengan masalah akses kepada pembiayaan perumahan.
"Antara faktor yang menyumbang kepada isu pembiayaan ialah kegagalan pinjaman perumahan disebabkan rekod kredit lemah, tahap risiko tinggi dan dokumen tidak cukup untuk menyokong keupayaan pembayaran balik pinjaman.
"Ia juga medium yang menyokong penyediaan 500,000 rumah mampu milik sebagaimana disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)," katanya ketika taklimat media i-Biaya di Sustainable Development Goals (SDG) Centre, Perpustakaan Kuala Lumpur hari ini.
i-Biaya akan dilancarkan pada 14 April oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Terdapat tiga skim pembiayaan ditawarkan menerusi i-Biaya iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang ditawarkan menerusi SJKP Berhad, Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Berhad dan Skim Rent-to-own (RTO) oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Azhar berkata SJKP akan membantu pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil.
"Golongan ini kebiasaannya tidak mempunyai dokumentasi lazim pinjaman perumahan seperti slip gaji, berpendapatan rendah, KWSP dan sebagainya," katanya.
SRP pula membantu pembeli rumah pertama dalam kalangan M40 dan B40 untuk memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan selain terbuka untuk individu yang bekerja sendiri atau pekerja berpendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM10,000 untuk pemohon tunggal atau pemohon bersama.
Manakala Skim RTO PR1MA membuka peluang kepada golongan M40 untuk memiliki rumah dengan skim pemilikan secara mampu milik berkonsepkan sewa beli dan terbuka untuk semua unit PR1MA sedia ada di seluruh Malaysia.
Ketiga-tiga skim ini boleh dimohon menerusi 26 bank yang terlibat.
-- BERNAMA
#Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia
#i-Biaya
#Program Pemilikan Rumah
#Hope
#KPKT
#Azhar Ahmad
#B40
#M40