I-Asuh jadi inisiatif daftar maklumat pengasuh di rumah - Amirudin
Wan Syamsul Amly
November 23, 2018 19:22 MYT
November 23, 2018 19:22 MYT
Inisiatif mendaftarkan pengasuh di rumah ke dalam I-Asuh mencari penjaga sesuai dan terlatih bagi menjaga anak-anak sementara mereka mencari rezeki.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia merupakan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor untuk memastikan maklumat berkaitan pengasuh di rumah dapat
dihimpunkan.
"Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan beberapa kes kematian bayi dan kanak-kanak yang menyayat hati melibatkan isu pengasuh.
"Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu melibatkan pengasuhan kanak-kanak di rumah dizahirkan melalui pelaksanaan program-program pembangunan kanak-kanak iaitu Kursus Insentif
Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) yang melibatkan pengasuh dan pengusaha taska di rumah," katanya semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2019 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pada itu ujarnya, program ‘Shadow Teachers’ atau Guru Anak Istimewa Selangor bertujuan melatih para pengasuh dan guru taska agar dapat mahir dan boleh membantu dalam penjagaan anak-anak berkeperluan khas.
"Kerajaan negeri juga bercadang memberikan kursus kemahiran dalam mengendalikan golongan anak istimewa di negeri itu.
"Ia bakal memberi pendedahan dan kesedaran mengenai aksesibiliti pendidikan awal anak-anak berkeperluan khas, membina ruang pergaulan yang lebih inklusif di antara anak-anak normal dan anak-anak berkeperluan khas dan mengubah perspektif dan stigma masyarakat terhadap keperluan anak-anak," tambahnya.
#Amirudin Shari
#I-Asuh
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#jkm
#JKM Selangor
#Menteri Besar Selangor
#pengasuh
#taska