Hyundai Motor sumbang 100,000 pelitup muka kepada Malaysia

Astro Awani
Ogos 5, 2021 05:14 MYT
(Dari kiri ke kanan) Naib Presiden Kumpulan Hyundai Motor, Kim Dongwook, Charge di-Affaires, Kedutaan Malaysia, Ahmad Fahmi Sarkawi, Ketua Pengarah Pengilangan Park Jae Young dan Pengarah MIDA Seoul, Mohamad Reduan. - Foto Kedutaan Malaysia di Seoul
KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menerima sumbangan 100,000 pelitup muka KF94 daripada syarikat Hyundai Motor Group, Korea Selatan.
Sumbangan itu hasil kerjasama pihak Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA Seoul.
Ia bertujuan membantu Kerajaan Malaysia mengurangkan penyebaran COVID-19 di sektor industri di negara ini.
Sumbangan pelitup muka itu disampaikan oleh Naib Presiden Kumpulan Hyundai Motor kepada Charge Di-Affaires, Kedutaan Malaysia di Korea Selatan, Ahmad Fahmi Sarkawi.
Majlis turut disaksikan Pengarah MIDA Seoul, Mohamad Reduan dan Ketua Pengarah Pengilangan, Kementerian Perdagangan, Industri Dan Tenaga Korea, Park Jae Young.
Hyundai Motor dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan kepada rantaian bekalan sektor pembuatan merupakan perhatian utama syarikat itu.
Ini jelasnya kerana Malaysia adalah salah satu pengeksport komponen semikonduktor utama ke dunia serta memainkan peranan penting di dalam industri automotif Korea.
#pelitup muka #Malaysia #sumbangan #KF94 #Hyundai Motor Group #MIDA Seoul #COVID-19