Hutang peneroka: Anak minta Anwar, Muhyiddin berdamai

Sinar Harian
Julai 21, 2023 14:31 MYT
Mazlan berkata, perbalahan antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri itu tidak membawa manfaat. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa polimik berkenaan hutang peneroka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyidin Yassin dihentikan demi kepentingan peneroka dan warga Felda keseluruhannya.
Penasihat Anak, Datuk Mazlan Aliman berkata, perbalahan antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri itu tidak membawa manfaat.
"Selaku NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Felda yang dilibatkan dalam sesi libat urus, usaha Tan Sri Muhyidin selaku Perdana Menteri ketika itu tidak boleh dinafikan.
"Pengumuman Datuk Seri Anwar selaku Menteri Kewangan pada 27 Jun disusuli insentif khas pada hari peneroka 7 Julai, amat melegakan dan ditunggu-tunggu meskipun hanya tujuh bulan membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Adalah lebih bermakna sama ada Kerajaan Perpaduan dan pembangkang ketepikan perbezaan hingga tuding-menuding mencari salah, sebaliknya bekerjasama demi mengembalikan Felda di landasan yang asal, selaras dengan objektif ditubuhkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Malah beliau amat bersetuju jika sidang Parlimen akan datang dikemukakan idea dan buka perbahasan dalam memperkasa Felda pada masa depan.
"Cukup cukuplah, jadikan pengajaran tragedi hitam Felda di masa lalu hingga kesannya sampai ke hari ini," ujar beliau. Beliau mempersoalkan sekiranya ada jaminan isu ketirisan dan salah guna kuasa tidak berulang kembali di Felda.
"Adakah Felda telah bersih dari anasir rasuah? Justeru, ikrar dan janji secara retorik demi laba politik akan kekal menghakis kepercayaan rakyat. Sebaliknya, 'political will' mesti dibuktikan," katanya.
Pada Rabu, Muhyiddin berkata, beliau akan meneruskan saman terhadap Anwar selepas Perdana Menteri gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam tempoh 24 jam sepertimana terkandung dalam surat tuntutan peguam beliau kepadanya.
Menerusi kenyataan media, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehubungan itu berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Anwar.
Sebelum itu, Anwar membuat kenyataan media berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka Felda dan mengemukakan dokumen untuk membuktikan beliau bercakap benar.
Artikel asal diterbitkan di Sinar Harian
#Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan #Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #Anak minta Anwar Muhyiddin berdamai
;