Hutang 1MDB dapat dikurangkan dalam 5 bulan - Najib

Astro Awani
Ogos 9, 2015 21:24 MYT
NAJIB: Dalam masa lima bulan akan datang ini, hutang 1MDB akan dapat dikurangkan kepada tahap yang jauh lebih rendah berbanding hari ini. - Foto Astro AWANI
Beban hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu dikurangkan dalam tempoh lima bulan akan datang secara berperingkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada ahli parti UMNO sebelum ini.
"Dalam masa 5 bulan akan datang ini, hutang 1MDB akan dapat dikurangkan kepada tahap yang jauh lebih rendah berbanding hari ini," katanya ketika berucap pada mesyuarat UMNO bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.
Menurut Najib, isu hutang 1MDB telah disensasikan di media sosial sehinggakan ia menjadi isu panas biarpun tiada kerugian yang dicatat syarikat pelaburan negara itu.
"Belum apa-apa lagi sudah meletup jadi panas, saya juga sudah mendidih sepanjang masa apabila ia jadi sasaran secara tiba tiba.
"Macam-macam cerita keluar di media sosial sedangkan siasatan masih berjalan, jadi ia tidak adil," kata Najib.
BACA: Isu dana, 1MDB: Kerajaan akan buat penjelasan kepada akar umbi - Zahid
BACA: Kronologi: SPRM dan siasatan ke atas 1MDB
BACA: RM2.6 bilion didakwa dalam akaun Najib dari dana penderma, bukan 1MDB - SPRM
Menurut beliau lagi, 1MDB tidak mengalami sebarang kerugian ketika ini dan hutang yang ada akan dipulihkan melalui penjanaan aset sedia ada.
Tambahnya lagi, selain laporan interim yang sudah sedia dibuat Jabatan Audit Negara, laporan akhir mengenainya akan dikeluarkan sedikit masa lagi sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
#1MDB #Barisan Nasional #BN #Najib Razak #UMNO
;