Hutan Simpan Kuala Langat Utara: Gabungan PHSKLU mungkin ambil tindakan undang-undang

Isabelle Leong
Februari 4, 2021 14:22 MYT
Jumlah bantahan umum terhadap penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dalam talian mencapai 130,000 tandatangan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor sekiranya mereka tidak menarik balik cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 958 hektar.
Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Suresh Kumar Balasubramaniam berkata gabungan PHSKLU telah mengadakan perbincangan dengan peguam mereka berhubung perkara tersebut.
“Perbincangan (dengan peguam) sedang berlangsung.
“Saya tidak dapat mendedahkan perincian lanjut kerana perkara tersebut belum diputuskan lagi.
“Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah perbincangan sedang berjalan, kami sedang melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang,” kata Suresh pada satu sidang media yang berlangsung secara maya pada Khamis.
Beliau berkata gabungan yang diwakili 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga pernah mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagamainapun, pihaknya tidak dapat berbuat demikian disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19.
“Kami tidak mahu orang ramai berhimpun di balai polis disebabkan pandemik COVID-19.
“Oleh itu, kami mengadakan kempen dalam talian.
“Setakat ini, kami tidak melihat sebarang unsur rasuah lagi tetapi kami berkemungkinan akan membawa perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu ditolak masyarakat menerusi saluran bantahan umum dan Usul No.26 yang diluluskan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 11 November lalu.
Jumlah bantahan umum terhadap penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dalam talian mencapai 130,000 tandatangan.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga meminta kerajaan negeri Selangor untuk terus mengekalkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara bagi memastikan kelestarian alam di negeri tersebut terus terpelihara.
#Hutan Simpan Kuala Langat Utara #PHSKLU #tindakan undang-undang #Selangor #Menteri Besar Selangor #Amirudin Shari #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #NGO
;