Hutan Simpan Bubu di Kuala Kangsar terbakar
Abd Razak Mohd Ali
Februari 15, 2021 22:52 MYT
Februari 15, 2021 22:52 MYT
KUALA KANGSAR: Cuaca panas sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan Hutan Simpan Bubu dekat sini terbakar petang tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.39 petang, Isnin.
Katanya, dianggarkan lebih dua hektar (5 ekar) kawasan hutan yang terbakar dalam kejadian tersebut.
“Operasi pemadaman ditangguhkan sehingga esok dan Pusat Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, cuaca panas yang dialami ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempuh Februari hingga April setiap tahun.
Menurutnya, sehingga kini suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.
Suhu tertinggi pada Februari 2021 adalah 36.2 darjah Celsius manakala pada tahun 2020 adalah 37.4 darjah Celsius yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.
#Hutan Simpan Bubu
#hutan terbakar
#kebakaran hutan
#JBPM
#JBPM Perak
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#MetMalaysia