Hutan simpan berdepan ancaman bagi pembangunan?
Tan Su Lin
Jun 4, 2016 11:52 MYT
Jun 4, 2016 11:52 MYT
Bukit Saga, Bukit Apek dan Bukit Ketumbar bagaikan syurga untuk pendaki.
Sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Puteh Utara-Selatan, ia menjadi tumpuan ratusan pendaki untuk beriadah kebiasaannya setiap hujung minggu untuk mereka menikmati suasana hijau merimbun dan udara segar.
Namun sejak kebelakangan ini, kehijauannya semakin terancam susulan aktiviti penerokaan di hutan simpan berkenaan.
Menurut salah seorang pendaki, Jess Cheng, 36, keadaan di Bukit Apek tidak seperti dahulu berikutan pokok-pokok yang hilang setelah ditebang untuk tujuan pembangunan.
"Dahulunya suasana di sini memang dingin dan nyaman, seperti seolah-olah berada di Genting. Tetapi disebabkan aktiviti penerokaan yang berlaku, cuaca makin panas," katanya.
Penduduk setempat dan pendaki mendakwa banyak kawasan yang telah diteroka untuk pembinaan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Difahamkan kawasan berkenaan juga akan menjadi laluan bagi projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) yang dijangka merentasi hutan simpan berkenaan.
Tinjauan Astro Awani di lokasi mendapati beberapa pokok telah ditanda dengan cat merah, dipercayai untuk ditebang.
Selain itu, sebahagian kawasan bercerun juga telah diteroka, mendedahkan muka bumi kepada cuaca panas dan hujan.
Menurut jurucakap Save Green Lungs, Jessy Phuah, bantahan demi bantahan dilakukan sebelum ini, namun projek pembangunan dalam hutan simpan itu tetap diteruskan.
"TNB sudah buat banyak pencawang di sini dan anda boleh melihat sendiri kesan kemusnahan yang telah berlaku. Kalau projek lebuhraya SUKE diteruskan pembinaannya, apa akan terjadi kepada hutan simpan kita? Apa lagi boleh kita berikan kepada generasi masa depan kalau kita teruskan dengan projek ini?" katanya.
Bagi pendaki, Linus Chung, adalah penting untuk mengekalkan hutan simpan itu daripada diteroka berikutan ia antara sebahagian kecil kawasan hutan simpan kekal yang masih wujud di Selangor.
"Kalau anda hendak cari tempat rekreasi, mana lagi tempat beriadah di Selangor yang boleh kita pergi? Kalau kita hanya tebang semua hutan simpan dan pentingkan pembinaan lebuhraya serta pusat membeli-belah, di mana lagi kita boleh mendapat udara segar dan air bersih?" ujarnya.
Sebelum ini, lebih 10,000 penduduk setempat dan pendaki telah menandatangan petisyen mendesak agar hutan simpan di Cheras dan Ampang dilindungi.
Selain untuk beriadah, ia juga penting sebagai kawasan tadahan air semulajadi selain mengelak kejadian banjir kilat khususnya dalam bandar.