Hutan seluas lebih 16 hektar terbakar di Gelang Patah
Astro Awani
Ogos 23, 2019 19:00 MYT
Ogos 23, 2019 19:00 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat (jbpm) Johor sedang berusaha memadam kebakaran hutan membabitkan 40 ekar (16.18 hektar) di kawasan hutan Kampung Pekijang, Gelang Patah.
Kerja pemadaman api telah dilakukan sejak dua hari lalu itu pada mulanya hanya melibatkan keluasan 10 ekar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor, R Saiful Iswandy R Hassan berkata operasi pemadaman membabitkan 70 anggota dari 10 balai bomba dan penyelamat Zon 1 Johor.
Katanya, sehingga kini proses pemadaman masih dijalankan.
Pasukan itu menerima panggilan pada Rabu lalu dan usaha pemadaman menggunakan teknik semburan air.
Namun, untuk mengelakkan kebakaran terus menjadi besar, pihaknya sedang membuat parit di sekeliling kawasan terbakar supaya api di dalam tanah gambut tidak merebak.
Kata R Saiful Iswandy, Unit Bantuan Udara JBPM sudah digerakkan ke lokasi bagi membantu mencari strategi terbaik memadam kebakaran dan sumber air terdekat.
Bagaimanapun kebakaran masih terkawal dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.