Hutan seluas dua hektar terbakar di Kajang
Bernama
Mac 15, 2019 10:37 MYT
Mac 15, 2019 10:37 MYT
Hutan berkeluasan 2.02 hektar di sekitar Taman Bukit Mewah, Kajang, dekat sini, terbakar dan anggota bomba berjaya mengawal keadaan kebakaran selepas empat jam.
Kebakaran hutan berkenaan yang berlaku sekitar 6.30 petang semalam itu hanya dapat dikawal kira-kira 10.30 malam Khamis selepas bomba menggunakan kaedah waterbreak bagi memadamkan api.
Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam kenyataan berkata, seramai 19 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Bangi, Pandan dan Cyberjaya terlibat dalam operasi pemadaman hutan berkenaan.
Menurutnya, empat jentera penyelamat (FRT), dua jentera air serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi.
"Ketika jentera pertama sampai, api di kawasan berkenaan sedang marak dan bomba menggunakan kaedah waterbreak untuk memadamkan api.
"Keadaan api sedikit sukar dikawal berikutan keadaan yang gelap... bagaimanapun kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa," katanya.
-- BERNAMA
#2 02 hektar
#Balai Bomba dan Penyelamat
#bangi
#bomba
#Cyberjaya
#jentera air
#jentera penyelamat
#Kajang
#kebakaran hutan
#PANDAN
#Pusat Gerakan Operasi Selangor
#Taman Bukit Mewah
#Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan
#waterbreak