Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2,0) mendakwa tindakan Pakatan Harapan (PH) memancing undi dengan menghulurkan bantuan wang tunai adalah menyalahi undang-undang serta tidak beretika.

Dalam satu kenyataan hari ini, badan bukan kerajaan itu berkata, mereka kecewa dengan perlakuan kerajaan yang menyalahgunakan sumber kerajaan semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Kami menggesa Menteri Besar Johor (Datuk Dr Sahruddin Jamal) untuk menunjukkan yang kerajaan PH mematuhi prinsip pilihan raya bebas dan adil dengan menghentikan pemberian dan peruntukan kerajaan lain sehingga selepas PRK Tanjung Piai.

“Kami sedia maklum tugas kerajaan perlu terus berjalan semasa PRK, namun untuk kawasan yang sedang dipertandingkan, sebarang pengumuman atau pemberian dan peruntukan perlu dihentikan,” katanya lagi.

Kenyataan Bersih 2.0 itu merujuk kepada pengumuman Sahruddin mengenai bantuan khas nelayan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang, bermula minggu hadapan.

BACA: Bantuan nelayan semasa PRK: Biar mahkamah tentukan - Salahuddin


Dalam kenyataan itu, Bersih 2.0 turut merekodkan beberapa laporan menteri kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan wang tunai semasa lawatan mereka ke Tanjung Piai, sebelum dan semasa tempoh berkempen.

“Menteri seperti Syed Saddiq (Belia dan Sukan), Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar), dan Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) telah menjustifikasi peruntukan tersebut dengan menafikan untuk memancing undi, namun kemurahan hati mereka yang berkebetulan dengan PRK menjadikan alasan mereka sangat memalukan,” katanya lagi.

Sehubungan itu Bersih 2.0 menggesa penggubal undang-undang untuk menyokong reformasi pilihan raya dan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memastikan semua patuh pada peraturan yang ditetapkan.