Hukuman wanita hina polis diringankan, hanya didenda RM5,000

Adie Sufian Zulkefli
Mac 29, 2021 15:35 MYT
Pada 31 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan terhadap Nursahira selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan komunikasi jelik menerusi Facebook. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini mengetepikan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang wanita atas pertuduhan menghina polis di media sosial pada tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menerima rayuan pihak pembelaan dan turut mengurangkan denda RM10,000 kepada RM5,000 terhadap Nursahira Mohd Mizuar, 20.
Bagaimanapun tertuduh boleh dipenjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pada 31 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan terhadap Nursahira selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan komunikasi jelik menerusi Facebook, dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Pendang, pada 10.12 malam, 27 Mac lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Nursahira yang berkerja sebagai pembantu kedai ditahan polis jam 11.30 malam pada 27 Mac tahun lalu selepas dia memuat naik status menghina polis di media sosial miliknya.
Hina polis, wanita didenda RM10,000 penjara 3 bulan
Wanita itu dikatakan memuat naik status itu selepas marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, kira-kira jam 9 malam.
Terdahulu peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh dalam rayuan berkata pihaknya berharap hukuman terhadap tertuduh diringankan berikutan dia sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya selain mengambil kira usia tertuduh baru menjangkau 19 tahun ketika itu.
Selain itu, Naran berkata tertuduh sudah menjalani hukuman penjara selama 10 hari dan itu sudah memadai baginya.
Laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menunjukkan tertuduh seorang anak yang baik, bertanggungjawab dan kini bekerja kilang untuk membantu keluarga memandangkan bapanya adalah pesara tentera dan ibunya merupakan suri rumah.
Timbalan Pendakwaraya Aqharie Durranie Aziz memohon supaya satu hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan menghina polis adalah sesuatu yang serius dan patut menjadi pengajaran kepada orang awam.
Keluarga tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.
#hina polis #wanita hina polis didenda #COVID-19 #Facebook #media sosial #polis #Alor Setar #komunikasi jelik
;