Hukuman terhadap UM8 perlu dipertimbangkan semula - IKRAM Siswa

Astro Awani
Disember 13, 2014 18:28 MYT
IKRAM Siswa menyeru pihak universiti untuk memulangkan semula hak mahasiswa untuk terus beraktivisme. Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Hukuman terhadap lapan pelajar Universiti Malaya adalah suatu langkah yang tidak bijak kerana aktivisme mahasiswa akan terus bersinar walau bagaimana jua tekanan yang ditimpakan ke atas mereka, kata sebuah pertubuhan mahasiswa
Presiden IKRAM Siswa Marwan Abdullah dalam satu kenyataan menyeru pihak universiti untuk memulangkan semula hak mahasiswa untuk terus beraktivisme dan bersuara dalam ruang lingkup demokrasi yang diamalkan negara.
"Tindakan ini amat bertentangan dengan semangat dan falsafah penubuhan sesebuah universiti yang mana universiti itu sendiri sepatutnya secara langsung menjadi ruang untuk mahasiswa bebas beraktivisme dan bersuara dalam isu-isu semasa lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan kebebasan akademik sepertimana yang telah pun diuar-uarkan sebelum ini melalui kempen Solidari Mahasiswa Sedunia pada 17 November lepas," katanya.
Tambahnya, tiada sebarang kerosakan yang dilaporkan selepas sahaja penganjuran program "40 tahun: Dari UM ke penjara" pada Oktober lepas.
"Malah pengajian dapat terus berlangsung seperti sedia kala," kata Marwan.
Harapan IKRAM Siswa adalah agar semua universiti di Malaysia akan kembali gemilang dan terus disegani di mata dunia sebagai suatu institusi ilmu yang berwibawa dan bebas dari dilihat seperti memihak kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja.
Pada 9 Disember, UM mendapati tujuh daripada lapan pelajarnya yang terlibat di dalam penganjuran pidato "40 Tahun: Dari UM ke Penjara" Oktober lalu, bersalah, dan telah memberi amaran keras serta mengenakan hukuman menggantung pengajian dan denda ke atas mereka.
UM, di dalam satu kenyataan rasmi, menyatakan bahawa keputusan terhadap pelajar-pelajar itu adalah menurut pertuduhan mengikut Kaedah-kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999.
Pegawai Perhubungan Korporat UM, Mohd Julian Borhanudin berkata prosiding tatatertib dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib Pelajar yang tediri daripada tiga orang ahli akademik kanan Universiti.
“Keputusan perbicaraan adalah berkuatkuasa serta merta, walau bagaimanapun rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan diumumkan,” katanya.
Pada 27 Oktober, sekurang-kurangnya 1,000 mahasiswa dan mahasiswi bertindak merempuh masuk pintu pagar Universiti Malaya (UM) di sini untuk menghadiri acara pidato itu, bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
#aktivsme #mahasiswa #Occupy UM8 #UM8 #universiti malaya
;