Hukuman terhadap pengasuh Indonesia sembunyi kelahiran ditangguh

Bernama
Februari 15, 2024 13:00 MYT
Sebelum ini, pengasuh berasal dari Medan, Indonesia itu mengaku bersalah pada 11 Jan lepas atas tuduhan menyembunyikan kelahiran pada Disember 2023. - Gambar/ Bernama
KANGAR: Hukuman terhadap seorang pengasuh warga Indonesia Yuni Widya Sari, yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran, ditangguhkan ke 22 Mac ini.
Majistret Nur Shahida Abd Rahim menetapkan tarikh itu bagi membolehkan laporan bedah siasat dilengkapkan sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh yang berumur 28 tahun itu.
Sebelum ini, pengasuh berasal dari Medan, Indonesia itu mengaku bersalah pada 11 Jan lepas atas tuduhan menyembunyikan kelahiran pada Disember 2023.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati menyembunyikan kelahiran dengan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkannya di Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara di sini pada 6.30 pagi, 21 Dis tahun lepas.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
#sembunyi kelahiran #sembunyi kematian bayi #pengasuh indonesia #Perlis
;