Hukuman sebat mandatori harus dilaksanakan ke atas ejen haram PATI - Zahid
Bernama
November 10, 2014 07:39 MYT
November 10, 2014 07:39 MYT
Kementerian Dalam Negeri mencadangkan agar hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas ejen haram yang membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia akan memberi pengajaran kepada golongan itu yang sebelum ini dilihat tidak takut dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan.
"Denda dan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah ini tidak setimpal. Oleh sebab itu, hukuman sebat secara mendatori mesti dibuat selain menambah kadar denda sedia ada bagi memastikan pesalah-pesalah ini serik melakukan kesalahan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu undangan Program Ruang Bicara Bernama TV di sini malam tadi.
Tambah beliau, hukuman serupa juga perlu dilaksanakan ke atas pengusaha-pengusaha mesin judi haram yang didapati masih berdegil untuk beroperasi setelah diserbu beberapa kali oleh penguat kuasa.
"Dengan pelaburan dan pendapatan yang diperoleh, pengusaha-pengusaha ini tidak kisah membayar sejumlah denda kepada penguat kuasa kerana dalam sehari mereka boleh mengaut keuntungan RM100,000 hingga RM200,000.
"Itu sebab saya rasakan hukuman sebat berkesan tetapi kemudian ia juga harus diikuti unsur-unsur pencegahan seperti mengasimilasikan kesedaran dalam kalangan rakyat pelbagai kategori," katanya.
Ditanya mengenai isu Cameron Highlands yang dibanjiri PATI, Ahmad Zahid berkata KDN akan menjejaki ejen-ejen yang membekal kumpulan PATI tersebut sehingga ke lubang cacing.