Hukuman sebat: 'Jangan tunjuk imej Islam bengis, aibkan umat' - Tun M
Najib Aroff
September 6, 2018 11:58 MYT
September 6, 2018 11:58 MYT
Hukuman sebat terhadap dua orang wanita di Terengganu memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam catatan di Facebook, Dr Mahathir berkata ia seharusnya ditangani dengan nasihat terlebih dahulu kerana ia kes pertama seumpamanya.
“Kabinet berpendapat bahawa ini (hukuman sebat) tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.
“Sebaliknya, kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.
“Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam. Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya," katanya.
Tun Mahathir berkata amat penting untuk umat Islam tidak menunjukkan imej Islam yang bengis dan suka menjatuhkan hukum berat serta mengaibkan orang.
“Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam. Ini adalah pendapat kabinet Kerajaan dan kami berharap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.
“Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan Bismillahirrahmanirrahim”, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali.
Pada 3 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu melaksanakan hukuman ke atas dua wanita yang didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dungun pada 8 April lalu. Selain disebat sebanyak enam kali, kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.