'Hukuman rasuah dalam Islam bersifat mendera tetapi mendidik'
Sinar Harian
Julai 21, 2022 11:35 MYT
Julai 21, 2022 11:35 MYT
SHAH ALAM: Islam menghukum kesalahan rasuah melalui hukuman takzir yang bersifat mendera dengan cara mendidik pelakunya, sama ada penerima atau pemberi.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hukumannya adalah setimpal dengan kadar kesalahan dan benar-benar memberi pengajaran mengikut budi bicara serta kebijaksanaan pihak penguatkuasaan atau badan kehakiman.
Menurutnya, ada kalanya undang-undang manusia menetapkan hukuman yang bersifat tidak mendidik dan tidak menakutkan.
“Denda (terhadap pesalah) dikenakan bayaran yang murah, bahkan lebih murah daripada kadar rasuah diambil.
“Selain itu juga, pesalah dipenjara seperti berada dalam tempoh berehat, bukannya mendera dan mendidik.
“Maka, individu yang melakukan rasuah masih bergembira dengan keuntungan hasil daripada pendapatan haramnya,” katanya menerusi hantaran 'Minda Presiden Pas' di Facebook miliknya pada Rabu.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kesalahan rasuah melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu penerima dan juga pemberi.
Bagaimanapun, katanya, kadang kala, tindakan undang-undang manusia hanya dikenakan terhadap penerima rasuah sahaja, sebaliknya pemberi rasuah tidak diambil sebarang tindakan dengan alasan melindungi pemberi maklumat.
“Sudah pasti banyaklah senarai nama mereka yang menerima rasuah sahaja yang didedahkan, nama-nama pemberi pula dilindungi dan disembunyikan.
“Tidak mengambil tindakan terhadap punca (rasuah) ibarat usaha menghadapi nyamuk yang berbahaya dengan hanya merawat mangsa dan membunuh nyamuknya sahaja, tetapi tetap tidak menguruskan longkang tempat pembiakan nyamuk,” ujarnya.
Jelas beliau, undang-undang ciptaan manusia gagal untuk membanteras rasuah meskipun hukuman berat ditetapkan di sesetengah negara, sehinggakan ada yang dihukum mati.
“Ini kerana, sifat undang-undang dan pendidikan pencegahannya tidak menyeluruh dan holistik.
“Bahkan, undang-undang tersebut tidak merangkumi segala aspek kejadian manusia dan matlamat mereka diciptakan, sehingga menyebabkan penyakit rasuah gagal diatasi sama sekali,” katanya. - Sinar Harian