Hukuman penjara ke atas penganggur samun kedai serbaneka dilanjutkan ke 12 tahun

Bernama
Julai 12, 2022 18:52 MYT
Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi terkilaf apabila mengenakan hukuman yang lebih ringan sedangkan kesalahan Mohammud Rezwan dilakukan di lokasi dan tarikh berbeza selain melibatkan mangsa berlainan.
PUTRAJAYA: Seorang penganggur yang bakal dibebaskan daripada tahanan minggu depan terpaksa berada di penjara lebih lama selepas Mahkamah Rayuan melanjutkan hukuman penjara lelaki itu dari tiga tahun kepada 12 tahun atas empat pertuduhan melakukan samun bersenjata di kedai serbaneka.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga memerintahkan Mohammud Rezwan Zuhaimi, 26, menerima empat kali sebatan.
Abdul Karim yang mempengerusikan panel itu mengarahkan Mohammud Rezwan menjalani hukuman penjara dari 17 Nov 2019, iaitu tarikh dia ditahan.
Semasa menyampaikan keputusan itu, Abdul Karim berkata kesalahan yang dilakukan Mohammud Rezwan adalah berat dan jenayah sedemikian sudah berleluasa.
Beliau berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi terkilaf apabila mengenakan hukuman yang lebih ringan sedangkan kesalahan Mohammud Rezwan dilakukan di lokasi dan tarikh berbeza selain melibatkan mangsa berlainan.
Abdul Karim berkata mahkamah juga menggunakan budi bicara dalam mengenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan ke atas Mohammud Rezwan.
Panel hakim itu juga membenarkan rayuan pendakwaan supaya hukuman tiga tahun penjara yang dijatuhkan ke atas Mohammud Rezwan berjalan secara berturut-turut bukannya serentak.
Pada 26 Nov 2019, Mohammud Rezwan mengaku bersalah di Mahkamah Seysen Seremban ke atas empat pertuduhan merompak menggunakan parang di empat kedai serbaneka Seven-Eleven di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 Nov 2019, 9 Nov 2019, 13 Nov 2019 dan 14 Nov 2019.
Dalam pertuduhan pertama dia didakwa merompak Nureirana Muhamad Taufed di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Tuanku Antah Rahang dan melarikan wang tunai RM110 dan rokok bernilai RM336.26 dan dalam pertuduhan kedua dia didakwa merompak Mohamad Naqi Fitri Sahudin di sebuah lagi kedai serbaneka di Jalan Tun Dr Ismail dan melarikan wang tunai RM160, biskut dan rokok bernilai RM216.10.
Dalam pertuduhan ketiga, Mohammud Rezwan didakwa merompak Khairunnisa Azman di kedai serbaneka sama di Jalan Tuanku Antah dan melarikan wang tunai RM150 dan pada pertuduhan keempat, dia didakwa merompak Ahmed Md Foysal di sebuah kedai serbaneka di Jalan Tuanku Munawir dan melarikan wang tunai RM186.45 dan barangan makanan.
Pada 26 Nov 2019, Mohammud Rezwan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen ke atas empat pertuduhan dan dijatuhkan hukuman setahun penjara bagi setiap pertuduhan dan diperintahkan berjalan serentak yang bermakna dia perlu menjalani hukuman penjara selama setahun sahaja.
Pada 5 Mei tahun lepas berikutan rayuan daripada pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi menambah hukuman penjaranya kepada tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak.
Terdahulu, Timbalan Pendawa Raya Zaki Asyraf Zubir memohon supaya hukuman penjara tiga tahun berjalan secara berturut-turut kerana kesalahan yang dilakukan melibatkan mangsa dan lokasi berbeza serta pada tarikh berlainan.
Bagaimanapun, Peguam Joseph Mathews yang dilantik Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan untuk mewakili Mohammud Rezwan berkata anak guamnya hampir selesai menjalani hukuman penjara dan akan dibebaskan daripada tahanan minggu hadapan dan memohon mahkamah supaya tidak meminda keputusan mahkamah yang lebih rendah.
-- BERNAMA
#samun kedai serbaneka #hukuman penjara #sebatan #Mahkamah Rayuan
;