Hukuman Najib: 'Kabinet tidak bincang isu babit Lembaga Pengampunan' - Fahmi
Astro Awani
Januari 10, 2024 17:50 MYT
Januari 10, 2024 17:50 MYT
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak menyentuh perkara membabitkan Lembaga Pengampunan termasuk kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Kabinet tidak boleh mendahului proses terbabit kerana itu kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Kita tidak bincangkan dalam mesyuarat hari ini tetapi lazimnya kita tidak boleh mendahului proses (Lembaga Pengampunan).
"Jadi, kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan (berhubung isu pengampunan Najib)," katanya pada sidang media pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Channel News Asia (CNA) bahawa permohonan bekas perdana menteri yang kini dipenjara itu akan didengar dalam sesi Lembaga Pengampunan pada minggu ketiga Januari.
CNA memetik seorang ahli kanan dalaman kalangan orang kepercayaan Najib berkata terdapat "suasana positif" mengenai petisyen pengampunan itu, sekiranya permohonan itu didengar dalam mesyuarat bulan ini.
Isu permohonan pengampunan Najib sebelum ini ditangguhkan pada mesyuarat bulan lepas kerana lembaga yang terdiri daripada enam anggota itu memutuskan ia memerlukan lebih masa untuk membincangkan isu berkenaan.
Mesyuarat yang akan datang adalah antara tugas akhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada akhir bulan ini.